KENYATAAN MEDIA

4 Muharam 1423 / 18 hb Mac 2002

PUM MENGGESA AGAR SUATU FORUM KHAS UNTUK MENYALURKAN PANDANGAN MENGENAI HUKUM-HUKUM ISLAM DIWUJUDKAN.

Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) ingin menjelaskan kenapa satu Forum Khas yang menjadi badan pengawal untuk mengawasi sebarang pandangan mengenai hukum-hukum Islam perlu diujudkan. Forum Khas ini dicadangkan diujudkan oleh Majlis Raja-raja Melayu agar kekeliruan dan salahfaham serta pemalsuan terhadap fakta-fakta dan nas-nas dapat dielakkan dalam pentafsiran berhubung dengan hukum-hukum Islam yang jelas dan yang telah disepakati oleh jumhur ( majoriti ) ulama mu'tabar.

PUM bermaksud agar Forum Khas ini akan mengendalikan dan mengawal sebarang tulisan dan komen yang didapati jelas bercanggah atau dinilai aneh dan janggal dengan kaedah-keadah penafsiran hukum-hukum Islam seperti yang sudah disepakati oleh kaedah perumusan hukum-hukum Islam oleh para ulama mu'tabar. Adapun pendapat-pendapat yang bersifat umum yang mengenengahkan pelbagai pandangan yang berbeda dari pandapat pelbagai ulama semasa maupun yang terdahulu dan yang tidak bercanggah secara jelas dengan pendapat jumhur ulama, maka hal ini tidak perlu dibawa ke Forum Khas ini.

Forum ini perlu segera diwujudkan kerana keperluan semasa yang berkaitan dengan penafsiran Islam tidak boleh lagi dibiarkan ditafsirkan secara bebas oleh sesiapa sahaja. Dalam situasi kini, masyarakat dan umat Islam amat memerlukan satu badan yang benar-benar bebas, berautoriti dan dianggotai oleh individu yang mempunyai kepakaran ilmu agama Islam , bertaqwa , dan komited dengan ugama serta mempunyai peribadi yang tidak dipersoal sebagai ulama'.

PUM menegaskan sekali lagi bahawa setiap penulisan atau pandangan baru berkaitan Islam perlulah dirujuk kepada ulama' yang muktabar di dalam Forum Khas ini. Kami tidak dapat menerima sama sekali pandangan bahawa Islam boleh ditafsir sesiapa sahaja tanpa mengambil kira latar belakang keilmuannya dan keperibadiannya.

PUM juga tetap dengan pendirian dialog hanya perlu diadakan dalam perkara yang berhubung dengan perbedaan pendapat dalam ilmu Islam tetapi tidak dalam hal yang jelas memalsukan fakta dan menghina Islam, Rasulullah s.a.w. dan ulama' . PUM berpendapat untuk pihak lain yang ingin mengadakan dialog terhadap penulis-penulis berkaitan adalah terpulang kepada mereka. PUM tidak mahu mengambil sikap naif dalam berhadapan dengan penulis dan mereka yang jelas mempunyai agenda tersendiri mengenai isu menegakkan hukum Islam dinegara ini.

Bagi PUM , apa yang telah dilakukan hanyalah menghantar suatu laporan kepada Majlis Raja-raja Melayu untuk menilai aduan PUM terhadap penulis-penulis tersebut. Kenapa pula PUM dijadikan sasaran serangan beberapa pihak dalam media ? Bukankah tulisan-tulisan merekalah yang kerap menyindir dan mengkritik ulama sebelum ini ? Jadi , bagaimana pula ulama dituduh menyerang penulis?

Mengenai PUM yang dituduh hipokrit oleh Astora Jabat dalam tulisannya pada 3 hb Mac 2002 dalam Utusan Malaysia kerana dikatakan berdiam diri terhadap kenyataan ulama politik , PUM tidak berminat menyahut kedangkalan dan kecetekan pemikiran penulis tersebut . Menuduh PUM hipokrit adalah kesan dari penyakit dendam beliau kerana tidak boleh menerima tindakan PUM menghadapkan isu ini kepada Majlis Raja-raja Melayu. PUM akan menentukan prioriti kerja nya sendiri tanpa perlu melayani tuduhan liar dari penulis seperti Astora Jabat yang dangkal , gopoh dan jelas melulu .

PUM yakin bahawa pihak yang menentang usaha PUM ini jelas keliru dengan isu sebenar yang hendak diketengahkan . PUM dan sesiapapun dikalangan ulama' tidak pernah mendakwa bahawa mereka setaraf dengan Nabi dan dengan yang demikian juga tidak pernah mendakwa tidak boleh dikritik. Apa yang telah diangkat oleh PUM ialah soal penghinaan dan fitnah terhadap Rasulullah s.a.w. dan mempersenda-sendakan ulama'. Sesungguhnya yang ditulis oleh mereka ini tidak boleh dianggap mengkritik atau berbeda pendapat.Apakah ungkapan-ungkapan seperti " Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin suku" , ' Nabi mengadakan hubungan seks dengan 15 orang wanita termasuk dengan seorang gundik" , " serban mufti terlalu ketat dan oksigen tidak sampai ke otak" bpleh dianggap mengkritik dan berbeda pendapat?

Dalam isu siapa sebenarnya ulama PUM berpendapat klasifikasi ulama' sudahpun ditetapkan dan digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Maka mereka yang menimbulkan isu siapa ulama' tidak timbul. Apa yang perlu di tegaskan oleh PUM ialah dalam hal hukum-hukum Islam ulama' lah yang sepatutnya dihormati untuk dirujuk kerana mereka adalah ahli dalam hal perumusan hukum. Seperti bidang lain , penghormatan dan perakuan diberi kepada mereka yang mendalami bidang berkaitan, maka ulama perlu dihormati dalam bidang hukum Islam yang mereka dalami.

Hj. Abd Ghani Samsudin
Yang Dipertua
Persatuan Ulama Malaysia (PUM)

Top            Home

Copyright 2001
Laman Web AbZad
Lot 1367 Kg. Tal Tujuh,
17030 Tendong, Pasir Mas, Kelantan.
E-mail : hambaallah00@hotmail.com