Agenda-Agenda Sekuralis Menentang Kebangkitan Islam

Oleh : Us. Abdul Ghani Samsuddin

Sebenarnya fahaman sekularisme menganjurkan agar umat Islam berpegang kepada suatu prinsip dan nilai baru yang berasaskan skeptisisme terhadap semua bentuk pengetahuan objektif. Skeptisisme atau keraguan terhadap kebenaran juga merupakan asas yang mencorakkan budaya dan pemikiran golongan sekularis. Akibat langsung dari minda skeptik ini, sekularis melihat agama bersama kitabnya tidak lebih dari suatu bentuk naratif besar (grand-narrative) yang tandus sifat kekudusannya dan dapat dipersendakan dalam permainan bahasa dan imaginasi kreatif yang mencampur-adukkan realiti dan fantasi. Persoalan kebenaran dan kebolehan untuk bersikap objektif akan diketepikan sebagai suatu yang mustahil untuk dicapai. Golongan sekularis telah menggantikan prinsip-prinsip kebenaran dengan beberapa prinsip baru, di antaranya prinsip ketiadaan suatu yang benar (no truth), kehampaan, realiti (no reality), kegersangan makna (no meaning), kepelbagaian (multiplicities), kesamarataan (equal representation) dan keraguan yang menyeluruh (total doubt). Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila prinsip ini meminggirkan nilai ketuhanan dan menggantikannya dengan sesuatu bentuk pergantungan mutlak kepada rasional. Tegasnya ta’akul rasional dijadikan sebagai pusat gravitinya.

Akibat prinsip-prinsip di atas mula bertapak kukuh dalam pemikir-pemikir sekularisme dan pendokongnya, mereka terus melangkah untuk memastikan prinsip-prinsip ini tidak akan mendapat saingan atau ancaman. Justeru menyedari Islam sebagai satu-satunya agama yang mampu mengancam mereka, maka tindakan untuk membunuh prinsip-prinsip, sistem-sistem dan manifestasi-manifestasi Islam dilakukan dengan aktifnya oleh golongan ini. Mana-mana ruang yang digunakan oleh pendokong-pendokong Islam untuk menampilkan wawasan Islam akan dihancurkan. Golongan pejuang kebenaran Islam akan dilabelkan dengan label-label yang jahat lagi hina. Lalu timbullah tuduhan-tuduhan bahawa golongan pejuang Islam dianggap ekstrimis dan ganas. Tidak cukup dengan itu, golongan sekularis akan sentiasa menakut-nakutkan rakyat dan sesiapa sahaja yang mahukan kebenaran Islam. Kononnya manusia dan dunia ini akan musnah jika golongan pejuang kebenaran Islam diberi peluang untuk mentadbir dan memerintah dunia. Suatu yang lebih menarik lagi golongan sekularis telah juga mewujudkan institusi-institusi dan aliran-aliran gerakan yang menentang perjuangan Islam. Institusi-institusi ini akan terus menerus berperanan untuk meliberalkan pemikiran umat Islam dan menggantikannya dengan suatu pandangan hidup (world view) yang berimejkan sekularisme.

Antara agenda sekularis yang berjaya dilaksanakan dalam masyarakat umat Islam ialah seperti berikut:

1. Memburuk-burukkan wawasan Islam

2. Menakut-nakutkan kerajaan dan rakyat terhadap Islam dan gerakan Islam

3. Menggilap imej aliran dan gerakan yang menentang Islam · Menilai gerakan Islam dengan pengalaman sejarah dan epistemologi Barat

4. Mengajukan beberapa strategi penting kepada kerajaan sekular negara-negara Islam untuk membendung dan melemahkan kebangkitan Islam dari sudut politik

5. Membantu kerajaan sekular dari sudut ekonomi agar ia memiliki keabsahan di mata rakyat untuk terus berkuasa.

6. Memusnahkan secara langsung atau tidak langsung kekuatan Islam yang mungkin akan muncul sebagai negara Islam samada di rantau Balkan maupun di tempat-tempat lain di dunia.

Menyedari bahaya ‘octopus’ sekularisme yang begitu bercapah dan sulit maka usaha untuk menghadapinya juga haruslah berbagai bentuk dan menyeluruh. Gerakan yang menghalang proses sekularisme mestilah merangkumi aspek pendidikan, sosio budaya, politik, ekonomi, pentadbiran, undang-undang dan lain-lain .

Suara YDP



Top
        Home

Copyright 2001
Laman Web AbZad
Lot 1367 Kg. Tal Tujuh,
17030 Tendong, Pasir Mas, Kelantan.
E-mail : hambaallah00@hotmail.com