Hotel Perdana dan Perdana Resort digabungkan

Hotel Perdana dan Perdana Resort yang merupakan rangkaian hotel milik kerajaan negeri memperkenalkan pendekatan baruapabila kedua-duanya digabungkan mulai 1 Januari lalu.

Hasil gabungan itu hotel berkenaan kini dikenali sebagai Perdana Hotel dan Resort.

Pengurus Eksekutif Kumpulan Hotel Perdana dan Resort, Samari Che Ismail berkata, penggabungan itu dilakukan bagi memantapkan operasi hotel dan resort, di samping mengurangkan kos operasi.

Menurutnya, ekoran penggabungan tersebut, Bahagian Pemasaran dan Komunikasi akan bertindak memasarkan produk bagi hotel dan resort secara serentak.

"Dengan penggabungan ini juga, tetamu mempunyai banyak pilihan untuk memilih sama ada mengadakan seminar, majlis makan malam atau pun tempahan bilik penginapan di dua tempat berasingan," ujarnya.

Kata beliau, Pejabat Korporat Perdana Hotel dan Resort ditempatkan di Hotel Perdana yang diketuai beliau sendiri.

Manakala empat bahagian penting iaitu, Bahagian Pemasaran dan Komunikasi, Bahagian Sumber Manusia, Kawalan Kos Makanan dan Minuman dan Bahagian Kewangan juga diwujudkan.

Samari berkata, Pengurus Kumpulan Komunikasi dan Pemasaran diketuai Kamarulzaman Ludin bersama enam Eksekutif Komunikasi dan Pemasaran yang sekarang di tempatkan di Hotel Perdana.

"Apa yang menarik, sekalipun berlaku pertukaran jawatan, namun tiada sebarang pembuangan kakitangan sebagaimana yang sering terjadi pada organisasi lain.

"Apa yang penting tenaga mereka diperlukan bagi memajukan lagi hotel ini," ujarnya pada satu sidang media di sini.

Sehubungan itu, bagi memperkenalkan hotel dan resort kepada masyarakat, pelbagai program telah diatur antaranya Jejak Warisan Kota Bharu ke Taiping 2002 yang bakal diadakan pada Mac depan.

Selain itu, Hotel Perdana dan Resort juga akan menyediakan sarapan pagi yang menjadi makanan kegemaran orang ramai seperti nasi dagang, nasi berlauk, laksa kuah lemak, laksam, kuih akok, akok berlauk dan sebagainya.