Setiap DUN perlu laksana projek 'jelapang makanan'


Kerajaan negeri akan memastikan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan mempunyai projek induk yang berteraskan 'jelapang makanan.'

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Masyarakat dan Industri Desa, Haji Omar Mohamad berkata, setiap kawasan DUN perlu mempunyai projek pertanian bagi mencapai hasrat tersebut.

Oleh itu, katanya setiap agensi pertanian perlu mengenal pasti jenis aktiviti pertanian yang sesuai dijalankan di kawasan DUN terbabit.

"Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan tidak lebih RM5,000 bagi setiap DUN untuk dimajukan dengan projek pertanian.

"Kelulusan projek pertanian tersebut boleh dibuat melalui Ketua Jajahan," katanya pada taklimat berkaitan porfolio pertanian di sini, baru-baru ini.

Haji Omar berkata, bagi setiap DUN yang mahu mendapat peruntukan lebih daripada RM5,000 perlu mengadakan rundingan dengan Ketua Jajahan terlebih dahulu.

"Apa yang penting ialah aktiviti pertanian di kawasan Dun perlu diaktifkan kembali bagi merealisasikan cita-cita kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara," katanya.

Beliau juga mahu setiap agensi pertanian dan penduduk bekerjasama secara lebih bersepadu bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan.

Pada majlis sama, Haji Omar menegur sikap sesetengah pentadbir di peringkat jajahan yang lambat menghantar permohonan subsidi baja padi yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada Pejabat Pembangunan Negeri.

Katanya, masalah birokrasi yang berlaku berhubung perkara itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan petani memerlukan baja untuk membajai tanaman mereka mengikut jadual yang ditetapkan.

"Oleh itu, mulai 1 Jan tahun ini petani perlu mengemukakan permohonanuntuk mendapatkan baja kepada penghulu secepat mungkin untuk disampaikan kepada pejabat penggawa sebelum diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan," katanya.

Setiap tahun kerajaan negeri terpaksa membelanjakan kira-kira RM3 juta bagi menyediakan baja subsidi, ekoran baja subsidi milik kerajaan Pusat yang berlambang dacing hanya diagihkan kepada 'penyokong Umno' sahaja, tambah beliau lagi.

Pada tahun 2001, sebanyak RM3.45 juta diperuntukan bagi tujuan itu berbanding RM2.94 juta tahun 1999.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Negeri, Mat Jusoh Hussin berkata, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM8,000 bagi setiap DUN bagi membantu rakyat miskin mendapat bekalan air dan elektrik.

"Setiap keluarga miskin yang dipilih mendapat peruntukan sebanyak RM350," katanya.

Menurutnya lagi, Pejabat Pembangunan Negeri menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM16.7 juta untuk tahun ini .

Peruntukan tersebut, termasuk peruntukan untuk penyediaan baja subsidi, pembangunan Desa Taqwa, program bina ihsan, rancangan pembangunan kecil, penempatan semula penduduk dan pembangunan infrastruktur pelancongan.

Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Othman Ngah berkata, jabatan berkenaan mendapat peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi melaksanakan beberapa projek pertanian, termasuk projek mempertingkatkan kemudahan pejabat pertanian, pembangunan tanah terbiar dan industri sayur-sayuran.

Katanya, jabatan berkenaan mencapai sasaran pembangunan tanah terbiar sebanyak 99.92 peratus sepanjang tahun lepas.
Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat pula mendapat peruntukan sebanyak RM6.1 juta bagi tahun ini.

Pada Disember tahun lalu, seramai 5,610 penduduk miskin menerima bantuan am berjumlah RM309,550 daripada kerajaan negeri
pada kadar antara RM50 hingga RM90 seorang.

Jabatan berkenaan juga menyediakan bantuan lain kepada penduduk miskin, termasuk bantuan persekolahan, latihan sambil belajar, bencana alam, projek jaya diri dan bantuan berkelompok.