Hotel Perdana, The Store Rai Anak Yatim


Seramai 61 anak yatim diraikan pada majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Hotel Perdana dan pasaraya The Store Sdn. Bhd. menjelang hari lebaran, baru-baru ini. Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Haji Hanifa Ahmad, Ahli Lembaga Pengarah Hotel Perdana, Haji Mohd Amin Yaacob dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Tumbuh, Ustaz Baihaki Atiqullah.

Haji Hanifa berkata, program itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dan akan diperluaskan di peringkat kampung pada masa akan datang. Menurutnya, program itu diadakan sebagai membuktikan Hotel Perdana tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata, sebaliknya juga turut menitik-beratkan soal kebajikan.

"Usaha sebegini juga akan diteruskan oleh PKINK bersama Hotel Perdana pada masa akan datang bagi meringankan bebanan mereka yang kurang bernasib baik", ujarnya. Turut hadir pada majlis itu ialah, Pengurus Besar Hotel Perdana, Samari Che Ismail dan pihak pengurusan The Store.