Sambutan Raya Bersama Belia Capai Matlamat


Program Sambutan Hari Raya Bersama Belia anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, baru-baru ini mencapai sasarannya apabila mendapat sambutan hangat di kalangan belia. Program yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang itu di Dataran MPKB dan kawasan sekitarnya turut diisi dengan pelbagai program menarik antaranya gusti lengan, dikir barat, pertunjukkan papan gelungsur, street soccer dan cabutan nombor bertuah.

Program yang julungkali diadakan tersebut lebih bertenaga apabila ia dipengerusikan dua pelawak terkenal iaitu Wak Sir dan Pak Ya. Perasmian sambutan itu dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Wanita, Belia, Sukan dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kob. Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan negeri serta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah menyampaikan ceramah motivasi untuk golongan remaja pada program berkenaan. Program berkenaan ditaja bersama Urusetia Penerangan, MPKB dan Markas Siswazah Kelantan (MSK).

Mohd Amar berkata, golongan belia perlu mencari ilmu sebanyak mungkin khususnya ilmu akhirat bagi mengimbangi perkembangan dunia yang semakin canggih. "Sekiranya golongan belia tidak peka dalam perkembangan ini, mereka akan hilang jati diri serta mudah hilang pertimbangan," ujarnya.