850 Pesakit Terima Hadiah Raya


Seramai 850 pesakit yang dirawat di Hospital Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian bernasib baik apabila mereka menerima hadiah sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Selain itu, 150 penghuni Taman Kenangan Pengkalan Chepa turut menerima hadiah serupa yang disumbangkan kerajaan PAS Kelantan.

Hadiah berupa hamper itu disediakan membabitkan peruntukkan sebanyak RM 20,000. Jumlah wang yang begitu besar itu adalah hasil sumbangan orang ramai pada setiap kuliah mingguan Menteri Besar di Dewan Zulkefli Mohamad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, sepanjang tahun.

MPKB juga turut menyumbang peruntukan sebanyak RM 5,000 untuk tujuan tersebut. Penyampaian hadiah hari raya tersebut disampaikan anggota Exco, Ustaz Ahmad Yakub kepada pesakit di Hospital Besar Kota Bharu.

Turut hadir pada majlis itu ialah , Adun Gaal, Dr. Nik Mazian Nik Mohamad, Setiausaha Politik dan Setiausaha Sulit Menteri Besar, Anual Bakhri Haron dan Nik Azlan Abdul Hadi. Serahan hadiah tersebut dilakukan di wad-wad yang turut ditemani Pengarah Hospital Kota Bharu, Dr Marry dan pegawai-pegawai kanannya.

Menteri Besar tidak dapat hadir pada majlis tersebut kerana sedang dirawat di wad hospital yang sama. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Adun Kelaboran, Haji Nordin Yaakub dan bekas anggota parlimen Bachok, Ustaz Buniyamin Yaakub turut menerima hamper tersebut kerana sedang dirawat di wad hospital berkenaan.

Pesakit bukan Islam yang sedang dirawat juga menerima hamper tersebut. Manakala majlis penyampaian hadiah raya di Hospital USM Kubang Kerian dilakukan isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.