Kontra defisit dengan grant wajib RM68juta

 

Dewan Undangan Negeri diberitahu bahawa anggaran hasil dan perbelanjaan tahun 2001 menunjukkan berlakunya defisit sebanyak RM12,940,467. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia, Dato’ Haji Mustafa Ali berkata, sehinga 30 September lalu defisit sebenar yang dialami oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM58,510,731.22.

Defisit tersebut pada masa ini dibiayai melalui simpanan tetap al-Mudharabah pelaburan Kerajaan Negeri. Katanya, memang sehingga bulan September defisit adalah sebanyak itu yang mungkin akan dapat dikontrakan apabila Kerajaan Pusat membayar baki grant wajib sebanyak RM68 juta lagi.

Katanya, Kerajaan Pusat wajib membayar Capitation Grant dan Road Grant berjumlah RM96 juta setahun dan bayaran telah dibuat sebanyak RM28 juta baru-baru ini. "Kerajaan Pusat berhutang kepada negeri sebanyak RM68 juta lagi. Jika termasuk bayaran itu defisit tidak akan berlaku," jelasnya.

Sepatutnya Kerajaan Pusat membayar grant wajib itu separuh pada bulan Januari dan sebahagian lagi pada bulan Julai. "Bagaimanapun sehingga ini baru bayar RM28 juta. Sebab itu saya kata masih berhutang tetapi biasanya pada bulan Disember grant wajib itu dibayar oleh Kerajaan Pusat. Pada bulan itu defisit boleh ditutuplah," jelasnya.