Sauk: PAS perlu penjelasan

Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk memberikan penjelasan kepada pihak polis mengenai kenyataan beliau terhadap peristiwa Sauk.

Ini, katanya kerana peristiwa itu perlu diberikan penjelasan secara terperinci kerana PAS tidak mahu melibatkan orang yang sudah mati dan memperkecilkan angkatan bersenjata.

"Kita tidak mahu melibatkan orang yang sudah mati dan tidak mahu memperkecilkan angkatan bersenjata. Apa yang kita sangsi ialah bagaimana senjata itu diambil, itu perlu diberikan penjelasan.

"Bukan masalah tembak, bunuh lepas itu dan bagaimana yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong, derhaka pada Agong, kena tanya pada orang berkenaan, awak derhaka kepada Agong ke," ujarnya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, mungkin ada hal-hal lain menyebabkan mereka yang terlibat dengan peristiwa itu yang tidak memuaskan hati mereka.

Ini, kerana katanya banyak benda-benda tersirat yang menjadi keraguan kepada PAS berhubung peristiwa tersebut.

"Kita tidak pertikai keputusan mahkamah, itu soal mahkamah membuat keputusan berdasarkan kepada apa yang diterangkan, dijelaskan dalam mahkamah.

"Yang menjadi masalah ialah bagaimana cara mengambil senjata yang begitu ketat dikawal, yang diambil begitu mudah, yang diangkut begitu mudah, ini memalukan angkatan tentera, sebenranya tidak semudah itu," ujarnya.

Menurutnya, ini kerana pemimpin PAS mendengar taklimat daripada pegawai tinggi tentera yang bersara dan berpengalaman mengenai bagaimana senjata disimpan dan cara untuk mengeluarkannya.

"Kita dengar taklimat, bukan kita buat secara semberono, kita anggap ini bermotifkan politik," katanya.

Apatah lagi, katanya apabila dikaitkan gambar mengenai peristiwa Sauk itu dengan ceramah PAS yang disiarkan di televisyen pada tiap-tiap malam sebelum siaran berita.

"Ini macam iklan sabun, apa kena mengena tunjuk Sauk, tunjuk Afghanistan, tunjuk pemimpin PAS," ujarnya.

Semasa ditanya adakah PAS akan mengambil tindakan berhubung perkara itu, beliau menjawab: "Kita merasa kita lebih bijak daripada mereka."

Mengenai kewujudan jabatan hal ehwal khas di negeri ini, beliau yang juga Menteri Besar berkata, ianya menunjukkan Umno terlalu lemah sehingga terpaksa mewujudkan jentera di atas nama kerajaan pusat.