TANDATANYA PENAMATAN KHIDMAT DR NASR FAREED....
AMERIKA ARAH SINGKIR MUFTI MESIR?

Mesir kini mendapat mufti baru apabila penyandang jawatan berkenaan, Professor Dr Nasr Fareed Mohamed Wasel digantikan dengan Dr Ahmad Mohammad Ahmad At Tayyib. Dr At Tayyib mula dilantik ke jawatan tersebut bermula 11 Mac 2002 lalu.

Dr Fareed memegang jawatan mufti Mesir sejak 10 November 1996 setelah mufti sebelum itu Dr Mohammad Syed Tantawi dilantik sebagai Syeikhul Azhar menggantikan Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq yang meninggal dunia.

Selaku bekas profesor Undang-undang Universiti Al Azhar, Dr Fareed dilihat sebagai seorang mufti yang berwibawa, berani dan tegas dalam menghadapi seuatu isu. Sepanjang kariernya sebagai mufti negara, beliau telah mengeluarkan beberapa fatwa yang dianggap sensitif.

Antaranya, dalam tahun 2000, beliau mengeluarkan fatwa haram merokok, satu amalan yang berleluasa dan biasa di kalangan rakyat dan pemimpin negara ini. Fatwa berkenaan dicetak dan ditampalkan di setiap masjid.

Seterunya pada 15 Oktober tahun yang sama, beliau secara terbuka menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya memboikot barangan Israel dan Amerika Syarikat serta negara-negara lain yang menyokong negara haram berkenaan.

Seruan berkenaan dibuat di Masjid An Nur, Kaherah, dalam satu majlis ceramah anjuran Kementerian Waqaf (kementerian hal ehwal Islam) Mesir.

Dr Fareed dalam ceramahnya turut menyeru raja-raja dan pemimpin-pemimpin negara Arab supaya mengambil ketetapan yang tegas memutuskan semua hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Israel dalam Sidang Kemuncak yang berlangsung pada 21 dan 22 Oktober 2000.

Beliau turut mengeluarkan fatwa yang menghukumkan bahawa pemuda-pemuda Palestin yang terbunuh dalam operasi berani mati terhadap Yahudi adalah mati syahid, satu fatwa yang begitu dibimbangi oleh pemimpin-pemimpin negara Arab.

Selain dari itu, Dr Fareed juga pernah mengeluarkan fatwa mengharamkan kuiz 'Who Want To Be A Millionaire' dan kuiz yang dibuat menerusi talian telefon yang mengenakan caj yang tinggi (seperti talian 600 di Malaysia).

Setelah menempuh pelbagai pahit manis selama lebih kurang 5 tahun 4 bulan, kini tugasnya diambil-alih oleh Dr At Tayyib kerana telah sampai umur bersara (sepertimana didakwa oleh majalah Soutul Azhar 15/3/2002).

Dr Tayyib menghafal Al Quran sejak kecil dan kemudiannya diterima belajar di Universiti Al Azhar di bandar Al Aqsar. Beliau seterusnya menyambung pengajiannya di Kuliah Usuluddin Kaherah.

Kemuncak kepada penglibatan beliau dalam bidang ilmu pengetahuan ini ialah apabila beliau mendapat anugerah professor pada tahun 1988. Beliau pernah menjadi dekan di tiga fakulti, Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Qana, Fakulti Pengajian Islam (lelaki) di Aswan dan Universiti Islam Antarabangsa Islamabad, Pakistan.

Selain bahasa ibundanya (Arab), beliau juga mampu menguasai bahasa Inggeris dan Perancis dengan baik. Bahkan beliau telah menghasilkan pelbagai koleksi tulisannya yang berbentuk terjemahan daripada bahasa Perancis ke bahasa Arab.

Dengan tidak menafikan kehebatan ilmu yang ada pada Dr Tayyib, ada pihak yang mempertikaikan kesesuaian beliau menjawat jawatan berkenaan kerana pengkhususan beliau adalah di dalam jurusan Usuluddin dan bukannya syariah dan undang-undang (sepertimana yang diperlukan di dalam institusi fatwa).

TAMAT @ SINGKIR?

Melihatkan ketegasan dan kewibawaan Dr Fareed dalam mengeluarkan fatwa, ramai berpendapat jawatan berkenaan sepatutnya masih dipegang oleh beliau. Tidak kurang juga yang mempertikaikan kesahihan berita kononnya pemberhentiannya adalah disebabkan oleh tamat kontrak atau pencen.

Mungkinkah Dr Fareed disingkir? Spekulasi ini semakin nyata apabila adanya fakta penyokong yang mengesahkan bahawa tempoh beliau memegang jawatan berkenaan belum tamat! Isu ini dilihat ada persamaan dengan penyingkiran mufti Selangor, Dato' Hj Ishak Baharum beberapa tahun lalu.

Umum mengetahui bahawa mufti sebelum beliau (Syeikhul Azhar kini), Dr Muhammad Syed Tantawi adalah lebih cenderung kepada kehendak pemerintah. Perlantikan beliau oleh kerajaan Mesir dianggap sebagai memecah tradisi universiti yang tertua di dunia itu. Sebelum ini jawatan berkenaan dipilih oleh Jabhah Ulama' Al Azhar dengan melihat tokoh ulama' yang paling berwibawa di kalangan mereka.

Ketika Tantawi memegang jawatan mufti, suara beliau tenggelam dek kehebatan Syeikhul Azhar, Jadul Haq. Rakyat Mesir lebih menghormati dan menerima kata-kata Jadul Haq (Syeikhul Azhr) daripda Tantawi (mufti).

Melihatkan arus kecenderungn rakyat yang lebih 'respect' kepada Syeikhul Azhar daripada mufti, maka pihak pemerintah melantik Tantawi ke jawatan berkenaan.

Malangnya, setelah dilantik sebagai Syeikhul Azhar, kecenderungan rakyat beralih kepad mufti baru, Dr Fareed. Jelas, rakyat melihat dan menilai ketokohan individu dan bukannya jawatan yang dipegang.

Arus kecenderungan majoriti umat Islam ini akhirnya mempengaruhi Tantawi untuk tidak terlalu mengikut telunjuk pemerintah.

Dalam usaha memboikot barangan Amerika dan Israel, beliau turut lantang bersuara. Lebih memeranjatkan banyak pihak, Tantawi dengan berani turut menyeru pemimpin-pemimpin Arab agar membuka pintu sempadan masing-masing bagi memberi laluan kepada sukarelawan Islam yang ingin berjihad menentang Isreal.

Disember tahun lalu, beliau mengisytiharkan operasi syahid sebgai syar'i (dibenarkan di dalam Islam). Tetapi pelaksana operasi berkenaan hanya dikira syahid sekiranya mereka tidak melakukan operasi berkenaan ke atas kanak-kanak dan wanita serta orang awam.

Terbaru, pad 22 Mac 2002 lalu Al Jazeerah melaporkan bahawa Tantawi mengeluarkan fatwa yang lebih redikal iaitu, membunuh rakyat biasa Yahudi adalah harus!

Menurutnya, "Sesiapa yang meletupkan dirinya untuk membunuh segolongan Yahudi yang diyakini mereka itu melakukan permusuhan ke atas Islam sedangkan di kalangan mereka terdapat wanita dan kanak-kanak serta orang awam maka kematiannya adalah syahid. Dengan syarat dia tidak dengan sengaja menjadikan kanak-kanak itu sebagai sasaran."

Kenyataan akhbar terbaru itu mengejutkan banyak pihak dan pandangannya kali ini dilihat selari dengan pandangan kebanyakan ulama' seluruh dunia. Ia juga sedikit sebanyak berjaya memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya.

Namun kewibawaan Dr Fareed lebih diyakini. Keberanian dan ketegasannya lebih dikagumi.

ARAHAN AMERIKA?

Ada juga suara-suara yang mendakwa penyingkiran Dr Fareed adalah arahan daripada Amerika. Samada benar atau tidak, tidaklah diketahui. Tetapi penyingkiran beliau berlaku sebaik sahaja presiden Mesir Muhammd Husni Mubarak pulang daripada Amerika Syarikat.

Melihatkan kepada pendirian Dr Fareed yang anti-Amerika Syarikat, ada kemungkinan dakwaan itu benar. Bukan sedikit kerugian yang dialami oleh negara kuasa dunia itu hasil daripada pemboikotan barangannya. Ini kerana rakyat Mesir mempunyai banyak alterntif lain selain barangan Amerika.

Dakwaan ini juga boleh dipercayai berasaskan kepada arus kecenderungan pemimpin-pemimpin dunia Islam yang kini semakin suka mengikut telunjuk Amerika Syarikat.

Pakistan yang mendahului negra-negara lain, membenarkan negaranya menjadi pengkalan kepada tentera Amerika untuk menyerang Afghanistan hujung tahun lalu. Selain itu Pakistan juga kini dalam usaha menekan sekolah-sekolah agama tradisional yang dituduh melahirkan pelajar agama yang berfikrah pengganas.

Yaman turut mengikut telunjuk Amerika apabila menutup banyak sekolah agama dan memerangi gerakan Islam yang disifatkan oleh Amerika sebagai gerakan pengganas. Ramai yang ditangkap di bawah akta keselamatan dalam negerinya, termasuklah pelajar-pelajar Malaysia di sana. Kini tentera Amerika dijemput ke negara berkenaan untuk berhadapan dengan gerakan Islam.

Turkey tanpa diminta, telah menawarkan tenteranya untuk turut memerangi umat Islam Afghanistan. Bahkan Turkey membenarkan tanahnya dijadikan pengkalan untuk menyerang Iraq. Lebih dahulu daripada itu, Turkey turut mengharamkan sekolah-sekolah agama dan menyingkirkan perdana menterinya (Najmuddin Arbakan) yang ingin memberikan kebebasan kepada sekolah agama.

Tidak keterlaluan jika di katakan kerajaan Malayia juga terkesan dengan permintaan Amerika, apabila ia secara berterusan menekan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) serta sekolah pondok.

Bahkan operasi penangkapan beramai-ramai bekas sukarelawan yang membantu umat Islam Afghanistan daripada dijajah oleh Rusia sekitar 80-an turut dilihat sebagai satu pelaksanaan terhadap 'permintaan tidak rasmi' Amerika Syarikat. Kalaupun ia bukan permintaan Amerika, tetapi ia adalah untuk mempamerkan kepada negara berkenaan bahawa Malayia bukan di kalangan negara yang melindungi pengganas.

Mereka turut menuduh kumpulan yang mereka namakan sebagai Kumpulan Militan Malaysia (KMM) sebagai terlibat dengan Taliban sedangkan Taliban adalah kumpulan baru yang wujud pada pertengahan dekad 90an. sedangkan sukarelawan-sukarelawan ini pergi ke Afghanistan pada tahun-tahun 80an.#

*****************

Sisipan:

MUFTI MESIR SEPANJANG SEJARAH

Institusi Fatwa di Mesir dikenali sebagai Darul Ifta' dan diketuai oleh seorang mufti. Ia berfungsi untuk mengkaji dn menjelaskan kepada masyarakat mengenai pandangan Islam terhadap sesuatu isu, terutamanya isu-isu baru yang kurang jelas hukumnya.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1895 (mengikut pendapat yang paling sahih), Darul Ifta' Mesir telah dipimpin oleh 17 orang mufti. Sebahagian daripada mereka kemudiannya dilantik sebagai Syeikhul Azhar.

1895
Syeikh Hasunah An Nawawi
- Berkhidmat sebagai mufti selama 4 tahun dan kemudiannya sebagai Syeikhul Azhar selama 14 tahun.

Jun 1899
Syeikh Muhammad Abduh
- Antara jasa beliau ialah memperbaiki binaan Al-Azhar dan Mahkamah Syariah serta menubuhkan pertubuhan-pertubuhan kebajikan.

18 Ramadhan 1323H
Syeikh Bakri As Sadafi
- Sehingga 4 Safar 1333 beliau mengeluarkan 1180 fatwa.

9 Safar 1333H
Syeikh Muhammad Bakhit Al Muti'iy
- Sehingga 16 Syawal 1338 beliau mengeluarkan 2028 fatwa.

25 Syawal 1338H (12/7/1920)
Syeikh Muhammad Ismail Al Bardisi
- Memegang jawatan berkenaan hanya enam bulan sahaja dan mengeluarkan 206 fatwa.

30 R/Akhir 1339H (4/1/1921)
Syeikh Abdul Rahman Qara'ah
- 7 tahun berkhidmat dan mengeluarkan 3065 fatwa.

2 Z/Hijjah 1346H (22/5/1928)
Syeikh Abdul Majid Salim
- Mengeluarkan 15,000 fatwa selama menjadi mufti. Dilantik sebagai yeikhul Azhar pada 8/10/1950. DISINGKIR selepas setahun memegang jawatan berkenaan kerana menentang keputusan kerajaan mengurangkan peruntukan untuk Al Azhar. Pada 10/2/1952, dilantik kembali ke jawatan Syeikhul Azhar hingga 17/9/1992.

Januari 1946
Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf
- Berkhidmat sehingga sampai bersara pada 1950. Pada Mac 1952 dilantik semula sebagai mufti dan berkhidmat sehingga Disember 1954.

21 Mei 1950
Syeikh Allam Nisar
- Berkhidmat sehingga Februari 1952.

16/2/1955
Syeikh Hasan Mustafa Makmun
- Berkhidmat sehingga umur bersara. Pada 16/7/1964 dilantik sebagai Syeikhul Azhar.

Jun 1960
Syeikh Ahmad Muhammad Abdul Aal
- Umur bersara beliau ialah pada tahun 1966, tetapi terus diberi kepercayaan menjawat jawatan mufti sehingga 1970)

31 Okt 1970
Syeikh Muhammad Khatir Muhammad
- Berkhidmat sehingga sampai umur bersara pada 1978.

26 Ogos 1978
Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq
- Berkhidmat sebagai mufti sehingga sehingga dilantik sebagai menteri waqaf (menteri hal ehwal Islam) pada Januari 1972. Kemudian beliau terpilih sebagai Syeikhul Azhar pada Mac 1982.

Mac 1982
Syeikh Abdul Latif Abdul Ghani Hamzah
- Berkhidmat sehingga meninggal dunia pada bulan Ogos tahun yang sama.

Oktober 1982
Syeikh Dr Mohammad Syed Tantawi
- Berkhidmat sehingga dilantik sebagai Syeikhul Azhar pada 7 Mac 1996.

10 Nov 1996
Prof Dr Mohammad Nasr Fareed Wasil
- Berkhidmat sehingga Mac 2002.

11 Mac 2002
Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At Tayyib

Top        Home

Copyright 2001
Laman Web AbZad
Lot 1367 Kg. Tal Tujuh,
17030 Tendong, Pasir Mas, Kelantan.
E-mail : hambaallah00@hotmail.com