Aidilfitri : Kediaman MB Tumpuan Rakyat Pelbagai Kaum
Rakyat dari pelbagai peringkat dan keturunan mengunjungi rumah terbuka
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka
sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri, 1 Syawal lepas. Rumah
terbuka Menteri Besar yang diadakan pada Hari Raya Pertama turut dikunjungi
pemimpin masyarakat bukan Islam termasuk Cina, India, Sikh dan Siam.
Rakyat pelbagai peringkat tidak melepas peluang mengunjungi Menteri Besar sebaik
selesai Solat Sunat Aidilfitri walaupun dalam keadaan hujan mencurah-curah.
Ketua-ketua gereja, Hindu, Sikh, Buddha dan pemimpin DAP Kelantan juga kelihatan
pada rumah terbuka tersebut. Kehadiran begitu ramai menyebabkan Tuan Guru Nik
Abdul Aziz bersama isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak sibuk melayan
tetamu yang hadir.
Biarpun hujan lebat mencurah-curah, rakyat Kelantan tetap tidak melepaskan
peluang untuk menunaikan solat Aidilfitri bersama Menteri Besar di Masjid Pulau
Melaka, dekat Kota Bharu. Orang ramai memenuhi ruang dalam masjid sejak awal
pagi lagi. Bagaimanapun, mereka yang tiba lewat, terpaksa bersolat di luar
masjid sehingga ramai di antara mereka basah kuyup.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat sunat Aidilfitri dan
menyampaikan khutbah. Ketika berkhutbah beliau meminta umat Islam tetap
meneruskan amal ibadat sebagaimana dilakukan di bulan Ramadhan. Pelbagai isu
semasa termasuk nasib yang dialami umat Islam di bumi Afghanistan turut disentuh.
Selepas solat sunat berkenaan, orang ramai terpaksa beratur panjang untuk
bersalaman dengan Menteri Besar. Sementera itu, Sultan Kelantan menunaikan solat
Aidilfitri di Masjid Muhammadi. Turut hadir menunaikan solat di masjid berkenaan,
Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman dan pegawai-pegawai
kanan kerajaan negeri. Selepas solat berkenaan sultan menemui rakyat di Balai
Besar.