Hotel Perdana dan Perdana
Resort digabungkan
Hotel Perdana dan Perdana
Resort yang merupakan rangkaian hotel milik kerajaan negeri memperkenalkan
pendekatan baruapabila kedua-duanya digabungkan mulai 1 Januari lalu.
Hasil gabungan itu hotel berkenaan kini dikenali sebagai Perdana Hotel dan
Resort.
Pengurus Eksekutif Kumpulan Hotel Perdana dan Resort, Samari Che Ismail berkata,
penggabungan itu dilakukan bagi memantapkan operasi hotel dan resort, di samping
mengurangkan kos operasi.
Menurutnya, ekoran penggabungan tersebut, Bahagian Pemasaran dan Komunikasi akan
bertindak memasarkan produk bagi hotel dan resort secara serentak.
"Dengan penggabungan ini juga, tetamu mempunyai banyak pilihan untuk
memilih sama ada mengadakan seminar, majlis makan malam atau pun tempahan bilik
penginapan di dua tempat berasingan," ujarnya.
Kata beliau, Pejabat Korporat Perdana Hotel dan Resort ditempatkan di Hotel
Perdana yang diketuai beliau sendiri.
Manakala empat bahagian penting iaitu, Bahagian Pemasaran dan Komunikasi,
Bahagian Sumber Manusia, Kawalan Kos Makanan dan Minuman dan Bahagian Kewangan
juga diwujudkan.
Samari berkata, Pengurus Kumpulan Komunikasi dan Pemasaran diketuai Kamarulzaman
Ludin bersama enam Eksekutif Komunikasi dan Pemasaran yang sekarang di tempatkan
di Hotel Perdana.
"Apa yang menarik, sekalipun berlaku pertukaran jawatan, namun tiada
sebarang pembuangan kakitangan sebagaimana yang sering terjadi pada organisasi
lain.
"Apa yang penting tenaga mereka diperlukan bagi memajukan lagi hotel ini,"
ujarnya pada satu sidang media di sini.
Sehubungan itu, bagi memperkenalkan hotel dan resort kepada masyarakat, pelbagai
program telah diatur antaranya Jejak Warisan Kota Bharu ke Taiping 2002 yang
bakal diadakan pada Mac depan.
Selain itu, Hotel Perdana dan Resort juga akan menyediakan sarapan pagi yang
menjadi makanan kegemaran orang ramai seperti nasi dagang, nasi berlauk, laksa
kuah lemak, laksam, kuih akok, akok berlauk dan sebagainya.