Hujan lebat punca banjir di
Gua Musang
Hujan lebat di kawasan
pedalaman jajahan ini iaitu di Aring dan Gunung Gagau dikesan menjadi faktur
utama menyebabkan berlaku banjir, akhir Disember lalu.
Jumlah hujan sehingga 814 mm yang disukat dalam tempoh tiga hari di Gunung Gagau
menyebabkan berlaku limpahan air Sungai Galas dan Lebir.
Hujan lebat mengakibatkan banjir di beberapa tempat termasuk bandar
lama Gua Musang, Kampung Baru Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Kerinting,
Kundur, Tiong, Sungai Ketil, Batu Papan dan PRT Sungai Terah.
Ekoran bencana itu, mesyuarat Exco kerajaan negeri diadakan di Pejabat Tanah dan
Jajahan Gua Musang, 16 Januari lalu untuk mendapat gambaran jelas mengenai
banjir dan melihat sendiri kesan-kesannya.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mesyuarat Exco
terpaksa dipindahkan dari Kota Bharu ke sini, bagi mendapat penjelasan
sepenuhnya mengenai banjir.
Katanya, hujan yang turun begitu lebat sehingga 30 peratus air dalam tempoh tiga
hari menyebabkan banjir berlaku di Gua Musang.
Banjir yang berlaku pada 22 dan 23 Disember lalu, dianggap terbesar selepas
1988. Air bah melimpah tebing dan menenggelamkan kawasan penempatan penduduk
mulai jam 8 malam dan surut awal pagi 23 Disember.
Sebanyak 22 pusat pemindahan yang menampung 3,776 mangsa dibuka semasa kejadian
itu berlaku.
Bagaimanapun seramai 755 lagi mangsa banjir terperangkap di Aring 2 dan Lebir.
Mangsa-mangsa banjir mendapat bantuan bekalan makanan yang berjumlah 3,600 kg
beras, 1,920 tin sardin, 30 kg gula, 10 pek besar teh dan 20 kotak biskut.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pekerja-pekerja sukarela dan pihak
polis yang menggunakan perkhidmatan helikopter untuk mengangkut bantuan kepada
mangsa-mangsa banjir di kawasan yang terputus hubungan darat," katanya.
Akibat bencana itu, jumlah kerugian keseluruhan termasuk kerosakan harta benda
ditafsirkan sebanyak RM2 juta.
Menteri Besar juga menegur sikap sesetengah penduduk yang gemar mendirikan rumah
di tepi sungai sehingga boleh membahayakan keluarga sendiri.
"Rakyat yang suka sangat membuat rumah di tepi sungai kena ubah pemikiran,
kerana ia mudah terdedah kepada bahaya dan kita tidak dapat memberi pertolongan
serentak bila berlaku bencana.
"Selain itu, ia juga melibatkan berlaku pencemaran sungai, dah.. lah sungai
semakin cetek kerana penurunan tanah-tanah hasil pembukaan hutan, di tambah pula
pencemaran angkara manusia.
"Sampah sarap akan melekat di mana-mana menyebabkan aliran airnya menjadi
perlahan," katanya selepas mesyuarat Exco di sini.
Sehubungan itu beliau mahu rakyat yang sudah lama tinggal di tepi sungai
berpindah ke tempat lebih selamat.
Katanya, pihak kerajaan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sudah
menyediakan tapak pemindahan di Tanah Putih.
"Malah ada syarikat-syarikat perumahan bersedia untuk membina perumahan kos
rendah.
"Bagaimanapun sekiranya rumah sudah dibina, namun penduduk masih enggan
berpindah, ia tentunya akan tetap menimbulkan masalah," tambahnya.
Beliau juga bersyukur kejadian banjir besar itu tidak menyebabkan berlaku
kehilangan nyawa manusia.
"Ini adalah pengajaran dan iktibar yang diberi Allah untuk memberi
peringatan kepada manusia supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman
berkata, kerajaan negeri akan mengarah jawatankuasa banjir di peringkat jajahan
mengenalpasti tempat-tempat yang selamat untuk dijadikan penempatan banjir.
Rombongan Menteri Besar dan anggota Exco kerajaan negeri juga melawat Kampung
Baru Hulu yang terjejas akibat banjir, sehingga lapan rumah penduduk rosak teruk.
Mangsa-mangsa banjir juga turut mendapat bantuan kerajaan negeri yang
disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bertempat di Sekolah Menengah Ugama (Arab)
Gua Musang.
Seramai hampir 100 penduduk termasuk mangsa banjir menerima bantuan daripada
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Tabung Serambi Mekah. Tujuh pelajar sekolah
menerima basikal dan dua lagi menerima kerusi roda.