Pangsapuri: Kota Bharu bakal berubah wajah


Ibu negeri Kelantan bakal berubah wajah sedikit masa lagi apabila beberapa projek pembinaan kompleks perniagaan dan pangsapuri siap tidak lama lagi.

Projek berkenaan yang dijalankan oleh syarikat swasta tempatan dengan kerjasama agensi milik kerajaan negeri, termasuklah pembinaan rumah kedai tiga tingkat dan kompleks perniagaan serta pangsapuri setinggi 20 tingkat di Jalan Che Su dan Jalan Sultanah Zainab, di sini.

Sebelum itu, dua syarikat lain telah membangunkan projek pangsapuri jenis kos rendah, sederhana dan mewah di dua lokasi berlainan, iaitu di Wakaf Che Yeh dan di Seksyen 9, juga di Kota Bharu.

Pengerusi Eksekutif Mayang Indah Sdn Bhd (MISB), yang bertanggungjawab membangunkan projek berkenaan, Haji Wan Yahya Wan Salleh berkata, untuk fasa pertama, 11 unit rumah kedai setinggi tiga tingkat akan dimajukan di situ.

Projek tersebut, katanya, dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.
Manakala fasa kedua projek yang mengandungi kompleks perniagaan dan pangsapuri setinggi 20 tingkat pula akan dimulakan projek pembinaan pada tahun 2003, katanya.

"Kompleks itu akan merangkumi kompleks niaga tiga tingkat yang mengandungi 50 ruang, dua tingkat untuk tempat letak kereta dan 14 tingkat lagi mengandungi 78 unit pangsapuri.

"Harga kompleks niaga yang ditawarkan adalah antara RM50,000 hingga RM150,000," katanya yang ditemui di pejabatnya di Kora Bharu baru-baru ini.

"Jumlah kos keseluruhan projek rumah kedai, kompleks niaga dan kediaman dianggarkan sebanyak RM20 juta," katanya.

Pada 15 Jan lepas, majlis solat hajat yang diimamkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat, telah diadakan di tapak pembinaan di Jalan Che Su.

Bandar Kota Bharu sehingga kini sudah mempunyai dua kondominium yang bertaraf sederhana dan mewah iaitu di Jalan Kuala Krai dan di Langgar, Jalan Pasir Puteh.

Kondominium tersebut sudah diduduki penghuni sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, kerja-kerja mengubahsuai Pasar Besar Siti Khadijah sedang dijalankan sejak tahun lalu.

Projek tersebut sedang berjalan dan mendapat peruntukan kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.