KPW Kelantan catat hasil RM7.8 juta
Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW)
di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan telah mencatat peningkatan
hasil kepada RM7,852,680.24 sepanjang tahun lalu iaitu sejak bulan Januari
hingga November berbanding RM7,242,155.84 tempoh yang sama tahun lalu.
Sehingga kini terdapat 113 KPW yang aktif di seluruh negeri Kelantan membabitkan
seramai 662 peserta yang dibimbing oleh Jabatan Pertanian Kelantan dengan
mengusahakan kegiatan dan aktiviti dalam bidang pertanian.
Menurut Penolong Pengarah Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pertanian Kelantan,
Encik Mohamad Kaberi Ghani, KPW di negeri ini berjaya meningkatkan pendapatan
golongan wanita tani dan kumpulan sasaran.
Katanya, pelbagai aktiviti dilakukan termasuk perusahaan membuat sos cili, sos
tomato, kerepek, hasil kacang soya, keropok, jeruk, kuih-muih, jus buah-buahan,
kraftangan dan makanan ringan.
"Pencapaian hasil KPW sentiasa meningkat setiap tahun melalui pelbagai
aktiviti yang dijalankan itu," katanya. Menurutnya KPW di seluruh negeri
Kelantan mencatat kejayaan menggalakkan iaitu di Bachok 14 KPW mengeluarkan
hasil sebanyak RM879,946.00 membabitkan 56 peserta.
Jelasnya lagi, lapan KPW di Gua Musang mengeluarkan hasil sebanyak RM269,210.00
(32 peserta), lima KPW di Jeli mengeluarkan hasil RM184,733.00 (4 peserta), 11
KPW di Kota Bharu sebanyak RM510,833.14 (55 peserta), 15 KPW di Kuala Krai
RM726,337.10 (190 peserta).
Beliau seterusnya berkata lagi, 11 KPW di Machang RM106,791.00 (14 peserta), 11
KPW di Pasir Mas RM701,883.00 (54 peserta), 11 KPW di Psir Putih RM1,908,783.00
(53 peserta), 9 KPW di Tanah Merah RM1,385,616.00 (38 peserta), 19 KPW di Tumpat
RM1,178,548.00 (143 peserta).
Menurut Mohammad seterusnya, Jabatan Pertanian akan terus mempergiatkan lagi
aktiviti untuk meningkatkan pendapatan penduduk terutamanya di kawasan luar
Bandar.