Sambutan Raya Bersama Belia Capai Matlamat
Program Sambutan Hari Raya Bersama Belia anjuran Urusetia Penerangan
Kerajaan Negeri Kelantan, baru-baru ini mencapai sasarannya apabila
mendapat sambutan hangat di kalangan belia. Program yang diadakan
bermula jam 10 pagi hingga 5 petang itu di Dataran MPKB dan kawasan sekitarnya
turut diisi dengan pelbagai program menarik antaranya gusti lengan, dikir barat,
pertunjukkan papan gelungsur, street soccer dan cabutan nombor bertuah.
Program yang julungkali diadakan tersebut lebih bertenaga apabila ia
dipengerusikan dua pelawak terkenal iaitu Wak Sir dan Pak Ya. Perasmian sambutan
itu dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Wanita, Belia, Sukan dan
Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kob. Hadir sama isteri Menteri Besar,
Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan negeri
serta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah menyampaikan ceramah
motivasi untuk golongan remaja pada program berkenaan. Program berkenaan ditaja
bersama Urusetia Penerangan, MPKB dan Markas Siswazah Kelantan (MSK).
Mohd Amar berkata, golongan belia perlu mencari ilmu sebanyak mungkin khususnya
ilmu akhirat bagi mengimbangi perkembangan dunia yang semakin canggih. "Sekiranya
golongan belia tidak peka dalam perkembangan ini, mereka akan hilang jati diri
serta mudah hilang pertimbangan," ujarnya.