Timbalan Ketua Polis Negara Akui Kelantan Selamat
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari mengakui negeri ini
berada dalam keadaan baik dan selamat. Bahkan menurutnya, kedudukan
jenayah di Kelantan di tempat ketiga terendah berbanding negeri-negeri lain di
seluruh negara.
"Terima kasih di atas perhatian dan kerja keras tuan-tuan selama ini
termasuk agensi kerajaan dan sebagainya bagi mewujudkan suasana itu,"
ujarnya pada majlis penyampaian saguhati kepada bekas polis yang berkhidmat
semasa darurat (1948 - 1962) di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Tan Sri Jamil berkata, tanpa kerjasama semua pihak, masalah jenayah sudah tentu
tidak dapat dibendung. Bagaimanapun, menurutnya Kelantan menduduki tempat kelima
dalam masalah berkaitan dengan dadah. Oleh itu, beliau mahu semua pihak berkerja
keras dari semasa ke semasa agar masalah itu dapat diatasi.
"Pihak polis termasuk pesara hendaklah pandai memenangi hati masyarakat
agar kerjasama yang lebih erat antara kedua belah pihak terjalin. Bila berlaku
masalah, InsyaAllah ia akan dapat diselesaikan dengan baik," ujarnya.
Pada majlis itu seramai 102 pesara polis termasuk balu mereka menerima saguhati
dari Mohd Jamil. Timbalan Ketua Polis Negara itu juga turut mengambil kesempatan
beramah mesra dengan pesara berkenaan dengan menyampaikan sumbangan tersebut
dari meja ke meja.
Turut hadir pada majlis itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Senator
Dato' Mansur Haji Mohd Jaafar, Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan
Kelantan, Haji Daud Ismail.
Haji Daud pula berkata, pihaknya sentiasa berusaha membantu kerajaan dalam
menangani masalah sosial termasuk dadah. Menurutnya, ia menjadi tanggungjawab
mereka untuk memantau keadaan tersebut bagi menjamin keselamatan negeri walaupun
sudah bersara daripada perkhidmatan kerajaan.