Kerajaan Terengganu berjimat RM82,939 sebulan

 

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan perbelanjaan mengurus kira-kira RM82,939 sebulan dengan tidak menjejaskan produktiviti perkhidmatan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia, Dato’ Haji Mustafa Ali. Sebagai contoh katanya, Kerajaan telah mengambil langkah berjimat cermat dengan mengarahkan pegawai dan kakitangan menjimatkan penggunaan letrik, air, alat ganti dan sebagainya.

"Ini termasuk mana-mana perkhidmatan yang telah diswastakan dan telah habis tempohnya, dilakukan sendiri oleh kakitangan kerajaan kerana kerajaan mempunyai kakitangan yang cukup," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Dato’ Haji Abdul Rashid Ngah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Dato’ Mustafa berkata, akibat daripada itu Wisma Darul Iman dari segi penggunaan letrik dan airnya telah dijimatkan sebanyak RM35,000 sebulan. Kerajaan juga telah mengambilalih projek menjaga kebersihan bangunan mahkamah syariah dengan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM47,939 sebulan. Dari segi tuntutan perjalanan dan sara hidup, semua jabatan dikurangkan kepada 50 peratus dan penyelenggaraan kenderaan semua jabatan dibenarkan setakat 25 peratus.

Berhubung dengan penjimatan penghawa dingin, Dato’ Haji Mustafa menjelaskan ia dibuka pada waktu pejabat dan ditutup selepas waktu pejabat. "Kita tidak menyusahkan kakitangan dan pegawai kerajaan, maka tidak timbul dan berbangkit perkara ia menyusahkan," katanya. Ini juga sebahagian daripada pengorbanan yang diberikan oleh kakitangan dan pegawai kerajaan pada waktu ini yang tidak pernah diajar berkorban dahulu.

Pemandu-pemandu kereta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang membuat tuntutan penuh, ditampung oleh exco berkenaan dengan wang sendiri kerana kerajaan hanya bayar separuh dari tuntutan pemandu kenderaan mereka. "Ini tidak ada arahan, ia adalah sukarela yang difahami bersama oleh exco dan pegawai eksekutif bahawa mereka perlu berkorban untuk tujuan tersebut," tambahnya