Bandar sejahtera: Peniaga diminta main peranan

Ahli-ahli Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Pasar Malam (PPMPM) di daerah ini boleh memainkan peranan bagi membangunkan bandar Kuala Terengganu.

Hasrat kerajaan negeri bagi mewujudkan sebuah bandar yang sejahtera bercirikan Islam boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), Dr. Sulaiman Abdullah berkata kerajaan berhasrat mewujudkan sebuah bandar bercirikan Islam dengan penampilan intelektual dan keceriaan.

Justeru itu, katanya bagi mencapai wawasan tersebut perlu kepada seorang pemimpin yang berwibawa yang disokong oleh semua pihak.

"Kewibawaan seseorang pemimpin bukan hanya terletak di bahu pemimpin itu sahaja tetapi amat perlu kepada sokongan dan dokongan semua pihak," ujarnya di Majlis

Dialog Bersama Pemimpin anjuran PPMPM Kuala Terengganu, di Seri Iman, semalam.

Turut serta di majlis tersebut ialah ADUN Bandar, Encik Azmi Lop Yusof selaku penasihat PPMPM dan pengerusi persatuan, Haji Wan Mohamad Abdullah.

Katanya, ahli-ahli PPMPM merupakan satu juzuk daripada warga bandar Kuala Terengganu yang menjadi ibu negeri Terengganu Darul Iman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, berharap agar ahli-ahli PPMPM di daerah ini turut memainkan peranan bagi menjayakan dasar-dasar kerajaan negeri.

"Tuan-tuan dan puan-puan ahli PPMPM perlu dengan penampilan cara orang yang bertaqwa dalam urusan perniagaan masing-masing, cari rezeki dengan cara yang beradab, jujur dan amanah dengan tidak meninggalkan perintah Allah SWT,"ujarnya.

Katanya, dalam urusan menjalankan perniagaan, setiap ahli persatuan perlu mendisiplinkan diri apabila tiba waktu solat.

Sehubungan itu, beliau bersedia untuk turun 'padang' serta menunaikan solat berjamaah dengan ahli persatuan di mana-mana pasar malam di daerah ini.

Tambahnya lagi, sebagai Yang Dipertua MPKT, beliau sentiasa bersedia memberikan galakan serta sokongan moral yang tinggi kepada ahli-ahli PPMPM.