ADUN Batu Rakit adakan Klinik Tanah

 

Tidak kurang dari 30 orang penduduk Batu Rakit di sini mengunjungi Klinik Tanah yang diadakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Haji Abu Bakar Chik, bertujuan untuk mengenalpasti dan menyelesaikan masalah pemberian tanah kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut baru-baru ini. Ketika ditemui Haji Abu Bakar berkata, Kerajaan telah mencuba sedaya upaya untuk mempercepatkan proses pemberian tanah kepada rakyat sebagaimana dijanjikan dalam manifesto pilihan raya parti kerajaan terutama penduduk yang sudah memohon sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Justeru pelbagai cara dilakukan oleh kerajaan termasuk mengadakan klinik tanah dengan memanggil penduduk sesuatu kampung untuk berkumpul di pejabat wakil rakyat bagi mendengar dan menyelesaikan segala permasalahan mereka berhubung dengan tanah.

Katanya, terdapat penduduk yang sudah membuat permohonan hampir 20 tahun atau lebih dari itu tetapi masih tidak memperolehi tanah yang dipohon. Ia sebagai bukti betapa kerajaan lalu menjadikan isu tanah sebagai isu politik semata-mata. "Setiap kali pilihan raya datang, mereka ditaburkan janji manis kerajaan lalu untuk menyelesaikan tanah tetapi apabila selesai pilihan raya permohonan mereka senyap begitu saja," katanya.

Kerajaan sekarang tidak menjadikan isu tanah sebagai isu pilihan raya dengan menunggu saat menjelang pilihan raya baru mula bertemu penduduk untuk tujuan tersebut. "Tetapi sejak dari awal PAS mengambil alih kerajaan Terengganu, permohonan tanah untuk rakyat terus dibuka dan tidak sampai tiga tahun kerajaan berjaya menyelesaikan masalah tanah termasuk di Pulau Redang, Felda Neram Satu dan lain-lain," katanya.

Haji Abu Bakar turut membuat lawatan mengejut untuk menemui penduduk Batu Rakit bagi mengenalpasti permasalahan mereka dan menemui anak-anak istimewa penduduk sempena Ramadhan al-Mubarak. Sementara itu, Mariam Ali, 63 dari Kampung Kubur Timah ketika ditemui sempena lawatan itu berkata, beliau sudah membuat permohonan sejak arwah suaminya Taib Hitam masih hidup 20 tahun lalu tetapi kini baru kerajaan berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah beliau.

Justeru Mariam mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang berhasrat untuk mengotakan janji sebagaimana termaktub dalam manifesto pilihan rayanya. Puan Ngah, 42 ketika ditemui Haji Abu Bakar menjelaskan beliau dan suaminya, Mohd. Ngah, 50 yang bekerja sebagai nelayan telah memohon tanah, juga sejak 20 tahun lalu. Beliau menunjukkan bukti permohonan tanah kepada Haji Abu Bakar dan ADUN itu membawa bukti itu ke pejabat beliau untuk tindakan seterusnya.

Puan Ngah bersedia bekerjasama dengan Kerajaan bagi mempercepat proses pemilikan tanah yang sepatutnya selesai dalam masa yang tidak lama.