2,481 terima anugerah pelajar cemerlang

 

Seramai 2,481 orang pelajar seluruh negeri menerima hadiah kecemerlangan dalam majlis anugerah hadiah kecemerlangan Yayasan Terengganu (YT) dari Daerah Kemaman, 19 November lalu. Dari jumlah itu, tujuh penerima Anugerah Sarjana Terengganu turut diraikan. Penerima anugerah itu kali ini ialah penerima Ijazah Kelas Pertama dengan kepujian Cheng Boo Kian dengan Ijazah Sarjana Muda Sains (Komputer), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Suziyana Mat Dahan, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi), UTM, Aidy Syukri Yahya, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, UiTM dan Rohayati Jusoh, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan UiTM Cawangan Terengganu. Bagi institusi pengajian luar negara, Roszaidi Ramlan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Manchester, (UMIST) Mohamad Kamal Izham Wahab, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari UMIST, dan Noor Aini Mat Adam @ Ngah, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan/ Kewangan dari Universiti Lancaster.

Pelajar dari Daerah Kuala Terengganu paling ramai menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar iaitu seramai 1,115, diikuti Daerah Besut (376), diikuti Daerah Kemaman (299), Dungun (285), Marang (192), Hulu Terengganu (136), Setiu (66). Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Haji Husain Awang mewakili Menteri Besar Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyampaikan anugerah kepada pelajar-pelajar berkenaan di Dewan Berlian Utama, Majlis Daerah Kemaman, Jalan Air Putih di sini.

Turut hadir di majlis itu ialah, Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Yusof Tahir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Haji Azmi Lop Yusuf dan Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mokhtar Ismail. Sementara itu, di Peringkat Kuala Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Haji Abu Bakar Chik hadir merasmikan majlis diikuti Daerah Marang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna, Haji Mohd Abdul Wahid Haji Endut.

Daerah Dungun pula menjemput Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia, Dato’ Haji Mustaffa Ali. Perasmian di Daerah Hulu Terengganu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Haji Wan Abdul Muttalib Embong. Daerah Setiu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan, Haji Abu Bakar Abdullah dan Daerah Besut, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Haji Harun Taib.