RIR diminta bayar hutang lebih RM 5juta

 

Kerajaan Negeri menghantar surat meminta Redang Island Resort Sdn. Bhd. (RIR) menjelaskan kira-kira lebih RM5 juta hutang tertunggak untuk pembiayaan projek bekalan air bersih bagi kemudahan air syarikat itu di Pulau Redang kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Sumber Manusia Dato’ Haji Mustafa Ali. Projek Bekalan Air Bersih untuk Redang Island Resort Sdn. Bhd. (RIR) dilaksanakan dengan menggunakan 50 peratus kewangan Kerajaan Pusat, 30 peratus wang royalti petroleum dan gas Kerajaan Negeri dan 20 peratus dari RIR."Kerajaan Negeri bayar dahulu kos projek itu, Kerajaan Pusat bayar balik dan RIR sepatutnya bayar balik kos projek itu sebanyak 20 peratus, kira-kira lebih RM5 juta tetapi sehingga hari ini syarikat itu tidak menjelaskannya," kata beliau. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan menaruh kemusykilan bahawa mungkin ada persekongkolan pemimpin-pemimpin politik kerajaan dahulu dengan RIR sehingga kos berjumlah sebanyak itu dibiarkan tertunggak sehingga kini.

"Saya tidak hendak jawab melainkan orang-orang mengetahui saja boleh memberi jawapan kepada persoalan ini," jelas beliau ketika menggulung Perbahasan Ucapan Belanjawan Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini. Katanya, Babena Sdn. Bhd (Babena) mengendalikan projek itu dan sepatutnya mendapat untung tetapi kerugian berterusan berlaku.

ADUN Kemasik, Dato’ Haji Abu Bakar Ali yang juga bekas Pengerusi Babena bangun memberi penjelasan bahawa beliau mengambil alih syarikat itu dalam keadaan syarikat mempunyai hutang terkumpul berjumlah lebih RM8 juta. "Dalam masa lima tahun iaitu sehingga 1995 atau 1996 kalau tak silap saya, hutang lapuk itu dapat diselesaikan dalam masa saya menjadi pengerusi. Ini menunjukkan satu kejayaan yang dibuat dalam masa yang begitu singkat," jelasnya.

Bagaimanapun Dato’ Haji Mustafa menafikan dakwaan ADUN itu sambil berkata, ADUN Kemasik memegang jawatan pengerusi sehingga PAS mengambil alih Kerajaan Negeri (tahun 1999). Kerajaan Negeri mendapati bukan sahaja ‘back date’ tidak dapat diselesaikan tetapi banyak hutang-hutang bank yang terlalu besar angkanya juga tidak dapat dijelaskan sehingga Kerajaan terpaksa mengambil satu keputusan yang bijaksana menjual syarikat tersebut.