MB rai 120 fakir miskin masyarakat Tionghua


Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama dan budaya, kata Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang.

"Apabila kita mendirikan sebuah kerajaan mesti berlaku adil terhadap semua rakyat," ujarnya ketika berucap di majlis Sambutan Menjelang Tahun Baru Cina, di Taman Teratur, Jertih, petang kelmarin.

Pada majlis tersebut seramai 120 orang penduduk miskin masyarakat Tionghua menerima sumbangan hamper dan wang tunai daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, berlaku adil bukan hanya kepada orang Islam sahaja tetapi juga orang yang bukan Islam di bawah pemerintahan kerajaan Islam.

"Jika kita (kerajaan) tidak berlaku adil kepada rakyat akan dimurkai oleh Tuhan yang menjadikan manusia ini.

"Kita mahu rakyat yang miskin diberi bantuan sehingga mampu membebaskan mereka dari kemiskinan yang berterusan," ujarnya di hadapan lebih 1,000 orang yang hadir pada majlis itu.

Katanya, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan sosial terhadap rakyat meskipun dalam kesempitan sumber kewangan negeri.

Tambahnya lagi, bantuan kepada rakyat yang miskin perlu diagihkan dengan betul tanpa mengira bangsa dan agama.

Selain itu, katanya menjadi dasar kerajaan untuk menyediakan tapak perumahan kepada semua rakyat di negeri ini.

"Kita (kerajaan) mahu menyediakan tapak rumah kepada semua rakyat dan mereka yang telah lama tinggal di atas tanah masing-masing sejak puluhan tahun perlu diberikan hak milik," jelasnya.

Menurut beliau, sejak dua tahun kerajaan negeri membuka semula permohonan tanah kepada rakyat terdapat beribu-ribu permohonannya.

Oleh demikian sudah tentu, katanya proses kelulusan setiap permohonan memakan masa yang agak panjang serta rumit.

Turut hadir di majlis tersebut beberapa orang ahli Exco kerajaan negeri, ahli parlimen dan wakil rakyat.