KT ke arah Bandaraya Islam pertama di Malaysia

 

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) berhasrat melaksanakan cita-cita kerajaan menjadikan Kuala Terengganu sebagai bandaraya Islam pertama di Malaysia. Yang Dipertuanya Dr. Haji Sulaiman Abdullah berkata, MPKT akan berusaha menggabungjalinkan elemen-elemen model sejarah dan kebaikan yang ada di mana-mana bandaraya di dunia untuk tujuan itu. Justeru katanya, beliau ingin memastikan Bandar Kuala Terengganu muncul sebagai satu bandar sejahtera dari sudut kerohaniannya, intelektual, emosional dan fizikal berteraskan Islam. Dr. Haji Sulaiman berkata demikian, ketika diwawancara oleh WARTA di pejabatnya di Tingkat 8 Menara Permint di sini baru-bari ini. [Wawancara penuh lihat muka 8]

Menurutnya, Bandar Madinah di zaman Rasulullah S.A.W. sebagai model utama. Ia menjadi bandaraya Islam pertama bukan kerana kemajuan dari sudut kebendaannya tetapi ia maju dari sudut kerohanian dan ketaqwaan lebih dari kebendaan. "Tidak ada yang boleh dibanggakan dengan kemajuan kebendaan di Madinah pada ketika itu tetapi kemajuan dari segi kerohanian amat membanggakan," katanya.

Sebaliknya, Bandaraya Kordova di zaman kegemilangan Islam lebih menjuruskan kepada kemajuan kebendaan Islam berbanding keimanan dan kerohaninan. "Di samping itu kita akan cuba mengambil perkara-perkara yang baik dari bandar-bandar lain termasuk bandar-bandar negara bukan Islam untuk tujuan itu," jelasnya

MPKT juga menumpukan kerjanya dari sudut kebersihan dan keceriaan. Katanya, tenaga sedia ada akan digembelingkan untuk melaksanakan tugas-tugas itu semaksimum mungkin. "Saya akan mendapatkan laporan dari pegawai saya untuk bertindak segera bagi mengatasi masalah kebersihan secara mingguan dan masalah keceriaan secara bulanan," jelasnya lagi.

Kebersihan yang penting ialah sistem pelupusan sampah dan ia menjadi keutamaan dan yang kedua dari sudut keceriaan terutama sekali di taman-taman untuk rekreasi dan tempat rehat orang ramai di pinggir jalan. "Ini adalah tumpuan kerja saya yang awal dan saya ingin melihat bahawa ini dapat dijalankan dengan sempurna secepat mungkin," katanya.