Hadi: Isu sandiwara tidak hina mahkamah


KUALA TERENGGANU - Pas menyifatkan langkah parti itu yang menganggap peristiwa berdarah di Sauk, Perak sebagai sandiwara bukanlah satu tindakan menghina mahkamah.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagaimanapun, menegaskan terserah kepada kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang dan Pas bersedia menghadapinya.

``Kita tidak menganggap suatu penghinaan tetapi menghormati dan memberi penghormatan kepada pihak mahkamah yang telah dicampuri oleh urusan politik yang mengganggu proses mahkamah,'' katanya di sini hari ini.

Abdul Hadi diminta mengulas laporan muka depan Utusan yang memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim yang menjelaskan, Jabatan Peguam Negara sedang membuat penelitian untuk mendakwa Setiausaha Agung Pas, Nasharuddin Mat Isa atas tuduhan menghasut dan menghina mahkamah kerana mengeluarkan kenyataan bahawa peristiwa di Sauk sebagai sandiwara.

Dalam mempertahankan pendirian Pas itu, Abdul Hadi berkata, sekiranya kenyataan berhubung Sauk dianggap penghinaan, kerajaan perlu mengambil kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini turut didakwa menghina dan mempertikaikan keputusan mahkamah.

Abdul Hadi juga mengulangi kenyataannya sebelum ini yang menegaskan, apa yang berlaku di Sauk adalah amalan dalam politik Barat.

``Saya sudah sebut... dalam politik Barat, ia boleh lakukan demikian, sebagaimana Hitler di Jerman yang pernah bakar pejabat parti tertentu bagi menghalalkannya bertindak atas orang berkenaan.

``Kita juga tahu peranan Agensi Perisikan Pusat (CIA), bahkan diluluskan undang-undang benarkan agensi itu melakukan pembunuhan, ini politik Barat dan kita (Malaysia) adalah rangkaian politik Barat,'' katanya.

Beliau mengambil contoh bagaimana dalam kes Sauk, ia dikaitkan dengan penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

``Yang berkuasa di Malaysia adalah Perdana Menteri. Kita tahu kuasa Agong terhad, mengapa tidak disebut menderhaka kepada Perdana Menteri. Kenapa dikaitkan Agong dengan isu politik, ia perkara sangat malang kerana Agong dan Raja-Raja tidak boleh berpolitik,'' tegasnya.

Ditanya tidakkah ini seolah-olah turut menggambarkan kematian mereka yang terlibat dalam peristiwa itu suatu yang sia-sia, beliau menegaskan: ``Saya tak kata sia-sia, tetapi perlu diteliti jangan dibuat secara gopoh, jangan dijadikan suatu permainan, jangan dikaitkan dengan orang yang tak terlibat. Banyak berita Sauk dikaitkan dengan semua orang.

``Bukan sahaja Sauk bahkan Taliban di Afghanistan juga sebagai contoh dikaitkan dengan Pas dan pembangkang. Memang, ada ciri-ciri drama di situ.''

Katanya, sekiranya tindakan diambil oleh Jabatan Peguam Negara, Pas bersedia menghadapinya.