Terengganu terus bertahan walaupun ditekan


Menteri Besar, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata kerajaan negeri Terengganu masih terus bertahan walaupun ia sentiasa menerima tekanan daripada Kerajaan Pusat, termasuk kelewatan pembayaran geran tahunan.

Malah, katanya, walaupun berada dalam keadaan sedemikian, kerajaan negeri tetap mampu membayar kenaikan gaji 10 peratus kepada kakitangan awamnya mulai bulan ini seperti yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, dengan langkah jimat cermat yang diamalkan oleh kerajaan negeri, ia mampu membayar tambahan gaji kepada kakitangan kerajaan, walaupun ada negeri-negeri lain yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN), tidak mampu berbuat demikian.

Menteri Besar mendedahkan bahawa ada negeri-negeri lain yang terpaksa meminta 'sedekah' daripada Kerajaan Pusat bagi menampung kenaikan gaji kakitangan masing-masing.

Harakah difahamkan kerajaan Terengganu perlu menyediakan peruntukan kira-kira RM14 juta sebulan bagi membayar kenaikan gaji kepada kira-kira 7,000 kakitangan awam di negeri ini.

Sebelum kenaikan gaji tersebut, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM170 juta setahun bagi membayar gaji kakitangan berkenaan.

"Kita dapat membayar kenaikan gaji tersebut tanpa perlu meminta pertolongan daripada kerajaan Pusat,'' katanya ketika berucap pada majlis dialog perdana bersama pegawai dan kakitangan kerajaan negeri di Sekolah Menengah Agama Setiu di sini, petang semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ku Azah Syed Alwee; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri, Dato' Mustafa Ali dan Ahli-Ahli Exco.

Selain itu, Ustaz Abdul Hadi turut melahirkan rasa kesal kerana masih ada kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan yang tidak patuh kepada dasar dan arahan kerajaan negeri.

Beliau mendedahkan, masih ada segelintir pegawai dan kakitangan kerajaan yang lebih patuh kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR).

Menurut beliau, mereka sepatutnya memberi kerjasama kepada JSR yang diiktiraf oleh kerajaan negeri, bukannya JKKK yang penubuhannya tidak diiktiraf oleh negeri ini.

Pelantikan badan sokongan seperti JSR adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bukannya kerajaan pusat. Hakikat ini perlu diakui oleh semua pihak sesuai dengan dasar federalisme dan perlembagaan negara,'' kata beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah itu tidak berulang lagi dan kakitangan awam di negeri ini akan berubah sikap dan mengambil pendirian menyokong kerajaan dan menjalankan tugas mereka dengan sempurna, demi kebaikan semua pihak.