Kakitangan awam Terengganu tidak perlu tandatangan Akujanji



Kakitangan awam di negeri Terengganu tidak perlu menandatangani kontrak Akujanji yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Pusat baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri, Dato' Mustafa Ali, berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk meminta kakitangannya supaya berbuat demikian.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendapat Perintah Am yang sedia ada sudah mencukupi bagi memastikan kakitangan awam mematuhi arahan-arahan kerajaan.

"Tambahan pula kerajaan negeri berpendapat Akujanji ini lebih bermotif kepada politik bagi membelenggu kakitangan awam," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis dialog perdana dengan pegawai dan kakitangan kerajaan agensi negeri di Sekolah Menengah Agama Setiu di sini, petang semalam.

Sebelum itu, seorang kakitangan awam mengemukakan soalan sama ada kerajaan negeri akan turut melaksanakan kontrak Akujanji yang diwajibkan bagi kakitangan agensi Pusat.

Mustafa berkata, kerajaan negeri tidak 'takut' kepada pegawai dan kakitangan kerajaan, termasuk mereka yang mungkin menentangnya.

"Oleh itu, kita mengambil keputusan untuk tidak menerima pakai akujanji ini,'' tambahnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan kenyataan akhbar dan media perdana kononnya kaum wanita tidak dibenarkan bekerja di Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh PAS, sebagai propaganda politik semata-mata.

Beliau berkata, dakwaan seumpama itu tidak benar kerana hakikatnya ramai kaum wanita bekerja dengan pelbagai jabatan di kedua-dua negeri tersebut.

Malah, katanya, sehingga ini sudah lebih dua tahun PAS memerintah di Terengganu belum ada seorang pun wanita yang dipecat daripada jawatan mereka di agensi kerajaan di Terengganu.

Menurut beliau, keadaan sebaliknya berlaku apabila wanita turut diberi peranan memikul pelbagai tugas besar dalam pentadbiran negeri, mengikut kesesuaian tugas.

Sebagai bukti, katanya, ada wanita yang dilantik sebagai audit dalaman bagi memeriksa akuan kerajaan negeri yang dianggap sebagai tugas besar dan mencabar.

"Mungkin dalam sesetengah hal kita tidak patut mengalakkan wanita bekerja pada waktu malam kerana pada masa itu mereka perlu berada bersama-sama keluarga," katanya.

Katanya, isu ini dimainkan dengan meluas oleh Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, Perlis baru-baru ini, bagi menimbulkan kebencian kepada PAS dan Parti Keadilan Nasional di kalangan pengundi.