Tokoh

Home Biodata Keluarga Kampungku

 

Karya
Agama
Lawatan
Politik
Koleksi
Tokoh
Kesihatan
Mutiara Kata
Links Pilihan
Ensiklopedia
Misteri Sains
Buku Pelawat
Aplikasiku

Koleksi Khutbah

Berapa umur anda ? Anda ingin tahu berapa lama anda hidup sekarang ? Untuk mengetahuinya klik di sini.
[Kira Umur]

Tercari-cari maklumat. Ingin mendapatkannya ! klik di sini.
[Perpustakaan Digital Islam]

Adakah anda bosan ? Untuk menyelesaikannya anda boleh bermain permainan tictactoe dengan klik link di bawah
[TicTacToe]

Magic Cursor

WEB POll

Pendidikan
Adakah sistem pendidikan di Malaysia sekarang patut diubah ?

Ya
Tidak
Kurang Pasti


Current Results

Berikut adalah merupakan tokoh yang sempat saya catatkan untuk tatapan anda.

 

1) Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (1897 - 1961)

2) Haji Daud Bukit Abal (1903 -1976)

3) Haji Awang Lambor (1900 - 1963)

4) Mufti Haji Wan Musa (1875 - 1939)

5) Haji Saad Kangkong (1893 - 1943)

6) Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani (1880 - 1952)

7) Tok Kenali ( 1870 - 1933)

8) Haji Yaakub Lorong Gajah Mati ( 1895 - 1956)

9) Haji Abdul Malek Sungai Pinang (1834 - 1934)

10) Haji Ismail Pontianak (1882 - 1950)

11) Haji Ali Pulau Pisang (1899 - 1968)

12) Tok Selehong (1872 - 1935)

13) YAB Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz b. Hj. Nik Mat (MB Kelantan)

Lain-lain tokoh anda boleh klik di sini.

 

 

Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (1897 - 1961)

Salah seorang ulama' besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal ke seluruh Semenanjung itu. Seangkatan dengan haji Ali Pulau Pisang, Hj Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj Saad Kangkong, Hj Ahmad Batu Tiga Repek, Hj Saleh Pedada dan lain-lain.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj Ahmad b. Mohd Zain yang berasal dari Kg. Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920).

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Mekah mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang diberi nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok Semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestij.

Di Pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang keras lagi tegas. 

Kerana kegigihannya yang sedemikian maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Husain Rahimi, Hj Nik Man Sungai Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumboh dan lain-lain. Kerana ketokohannya juga  beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan untuk beberapa penggal (seawal 1932).

Kematian fuqaha' ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuwan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiyyahnya.

[kembali ke atas]

 

Haji Daud Bukit Abal (1903 - 1976)

Syeikh tarekat Ahmadiyah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa / Sidi Muhammad al-Azhari / Syeikh Mohd. Said Linggi. Adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat / Gong Kemudu.

Nama penuh ahli sufi ini ialah Haji Daud Shamsuddin b. Hj. Omar al-Libadi. Lahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya Wan Halimah bt. Hj. Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad b. Haji Ismail. Manakala bapanya, Hj. Omar b. Hj. Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak.

Antara guru-guru awalnya ialah Hj. Awang Limbat, Tok Kenali, Tok Seredik, Maulana Tok Khurasan dan lain-lain. Beliau pernah belajar di Mekah dengan beberapa guru seperti Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan Syeikh Mohd. Shafie Kedah dan lain-lain.

Setelah kembali dari Mekah pada awal tahun1941, beliau berkebun sambil mengajar agama di beberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu berusaha menghidupkan semula pondok peninggalan bapa mertuanya, Hj. Awang Limbat.

Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan - mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu usuluddin, furu'uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengalaman zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan para muridnya, beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1956) dan pada awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.

Beliau telah meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976. Antara muridnya yang terkenal ialah Prof Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam), Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi dan Drs Abdul Rahman Hj Ahmad.

[kembali ke atas]

 

Haji Awang Lambor (1900 - 1963)

Salah seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat pada pertengahan abad ke -20 Masihi. Nama sebenar tokoh ulama' yang dilahirkan di Kg Padang Merbau, Lambor , Wakaf Bharu sekitar 1900 ini ialah Haji Abdullah b. Haji Omar. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang penuh dengan didikan agama.

Selepas menuntut beberapa ketika dengan Tok Kenali dan Tok Selehong beliau pergi menamat di Kota Mekah selama 9 tahun lagi. Barisan gurunya termasuk Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggora, Tok Shafie Kedah, Pak Chik Wan Daud Patani, dan lain-lain.

Pada 1934, pulang ke Kelantan lalu mendirikan Pondok Lambor yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Hj. Mat Nor Rushdi Hj. Awang Gajah (pengasas pondok Tasat di Legor), Hj. Mohd. Nor Hj. Abdullah (guru Pondok Teliar), Pak Su Loman (Imam Bunut Susu) dan lain-lain.

Tuan Guru Hj Awang Lambor pulang ke rahmatullah pada pukul 3 petang Sabtu 27 Zulkaedah 1382 bersamaan pada 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu.

[kembali ke atas]

 

Mufti Haji Wan Musa (1875 - 1939)

Ahli tasawuf berpendirian tegas. Bergiat sezaman dengan Tok Selehong. Nama penuhnya ialah Haji Wan Musa b. Hj. Abdul Samad. Bapanya , Haji Abdul Samad b. Mohd. Saleh al-Kalantani (lebih masyhur dengan gelaran Tuan Tabal) ialah penyebar perintis tarekat Ahmadiyah di rantau ini, juga tergolong ulama' pengarang yang banyak menulis kitab jawi - terpentingnya Minhat al-Qarib (1883).

Hj. Wan Musa adalah seorang rakan seperguruan Tok Kenali, terkenal dengan fikiran-fikiran yang berani tetapi kontroversi. Namun, beliau terpilih dan ditawarkan jawatan Mufti Kerajaan Kelantan selepas pengunduran Mufti Haji Wan Ishak pada awal 1909.

Sikapnya yang tegas serta pandangan-pandangannya yang condong kepada reformasi telah menyeret beliau ke kancah pertelagahan pendapat dengan tokoh-tokoh "Kaum Tua" seperti Hj Omar Sungai Keladi,  dan Hj Ibrahim Tok Raja. Di luar Kelantan pula, beliau pernah berpolemik dengan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani - penulis Tazkiyat al-Anzar (1920) yang menghujah balas pendapat Hj. Wan Musa.

Antara persoalan kontroversi yang berbangkit sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta zakat fitrah, hal muqaranah solat, talqin, kain telekung solat, talfiq mazhab, pemindahan harta wakaf/pusaka dan perbahasan jilatan anjing. Keyakinannya kepada pendapat-pendapat yang pernah diluahkannya serta pertelingkahannya yang lama dengan tokoh-tokoh "Kaum Tua" menyebabkan beliau melepaskan jawatan Mufti pada pertengahan 1916.

Mufti Hj. Wan Musa kembali ke alam baka pada 3 petang Sabtu 24 Zulkaedah 1357 bersamaan dengan 14 Januari 1939 dan dikebumikan di tanah perkuburan Kg. Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu.

[kembali ke atas] 

 

Haji Saad Kangkong (1893 - 1943)

Iman Waktu perintis di Masjid Besar Kota Bharu. Guru kitab Arab paling muda di Halaqat Kitab Masjid Muhammadi. Rakan setugas Hj. Yaakub Legor dan Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati. Nama penuhnya ialah Hj. As'ad b. Hj. Daud, berasal dari Kg. Kangkong, Pasir Mas.

Beliau tidak jemu-jemu mengajar dan belajar, semenjak muda sehingga tua. Guru-guru utamanya termasuk Tok Kenali, Hj. Ahmad Hafiz, Mufti Hj. Wan Musa. Juga disebut-sebut pernah menuntut di Mekah selama tujuh tahun.

Apabila pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) memperkenalkan jawatan Imam Solat Waktu di Masjid Besar Kota Bharu (masjid muhammadi), beliau terpilih sebagai penyandang pertamanya - berkhidmat mulai 19 Jun 1927 hingga 31 Disember 1930, bergaji RM 15 sebulan.

Sepanjang dasawarsa 1930-an, beliau bertugas sepenuh masa sebagai guru kitab Arab di Masjid Muhammadi, bergaji RM 30 sebulan dan meningkat ke RM 40 apabila bertukar ke Jami' Merbau al-Ismail (sejak awal 1941). Beliau telah melahirkan pelajar yang hebat yang banyak menyandang jawatan yang tinggi sekarang.

Sebagaimana rakan-rakan seperjuangannya, beliau turut dilantik menjadi Ahli Mesyuarat Majlis Agama Islam Kelantan pada tahun 1940.

Beliau ditakdirkan meninggal dunia secara mengejut di rumahnya sekitar jam 11.00 pagi 22 Jamadilakhir 1362 bersamaan 26 Jun 1943. Bakat beliau dalam kegiatan dakwah kini diwarisi oleh cucunya, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor (pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya).

[kembali ke atas]  

 

Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani (1880 - 1952)

Salah seorang guru pondok dan ulama' pengarang tersohor di Semenanjung Tanah Melayu pada suku kedua abad ke-20 Masihi. Beliau bukan sahaja terkenal di Kelantan dan Pulau Pinang, tetapi juga terbilang di Mekah.

Nama penuh tokoh ulama' kelahiran Kg. Panjang, daerah Sering di sempadan jajahan Kota Bharu / Bachok pada penghujung 1297H / 1880 M ini ialah Hj. Osman b. Muhammad. Lantaran itu pada peringkat awalnya beliau lebih dikenali dengan panggilan Hj. Seman Sering.

Beliau termasuk dalam kumpulan murid kesayangan Tok Kenali. Juga pernah berguru dengan Hj Jamaluddin Perupok dan HJ. Abdul Malek Sungai Pinang. Di Mekah pula, beliau sering mendampingi Tuan Mukhtar Bogor yang ternama itu.

Namanya mula timbul selepas kejayaan beliau mendirikan Madrasah Manabi' al-Ulum (1932) di Penanti, Bukit Mertajam. Madrasah ini kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian pondok yang paling maju di Seberang Perai, khususnya pada dasawarsa 1930-an dan 1940-an.

Sebagai pendidik yang dedikasi beliau banyak manghasilkan karya sendiri dan terjemahan. Syeikh Osman bukan sahaja berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karangan, tetapi juga selalu memilih topik yang berkait rapat dengan persoalan yang dihadapi oleh masyaraka. Kitab Al- Durrat al- Nafi'ah (Alamat Kiamat) karangannya meletakkan beliau sebagai sasterawan Islam yang berpandangan jauh kerana ia dianggap buku berbahasa Melayu paling terperinci membicarakan perihal tanda-tanda dunia hampir kiamat.

Tokoh yang amat mementingkan istiqamah dan disiplin diri ini ditakdirkan meninggal dunia di tanah suci Mekah waktu fajar hari Jumaat 30 Zulhijjah 1371 bersamaan 19 September 1952.

[kembali ke atas]  

 

Tok Kenali (1870 - 1933)

Tokoh ulama' Kelantan yang paling masyhur, malah termasuk antara ulama' besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Hussein Kedah, Pak Wan Sulaiman, Hj. Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Hj. Abu Bakar Alim (Muar), Hj. Mat Shafie Losong (Terengganu) dan lain-lain. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang punnamanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.

Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Hj. Mohd. Yusoff Ahmad.

Menuntut di Mekah selama 22 tahun (1305H - 1327H). Sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemsukkan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum itu tertumpu pada usuluddin, fiqh, dan tasawuf sahaja).

Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama' pelapis paling berwibawa - bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah Hj. Mat Jebeng, Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato' Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato' Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula ialah Hj. Wan Abdul Latiff Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato' Hj Hassan Yunus al-Azhari (MB Johor), Dato' Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj Osman Bukit Besar, Hj Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj Hasan Lampung, Hj Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).

Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali sendiri - Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Mekah) - juga tergolong ulama' dan pendakwah yang berjasa besar.

Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bersamaan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.

[kembali ke atas]

 

Haji Yaakub Lorong Gajah Mati (1895 - 1956)

Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu suku kedua abad ke-20 Masihi. Nama lengkap tokoh ulama' yang berkediaman di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu ini ialah Haji Yaakub b. Haji Ahmad.

Kerjaya awalnya bermula sebagai di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mensyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922, dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (sekolah melayu majlis) dengan gaji permulaan RM 20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat ke RM 28 sebulan. Seterusnya mulai 1Januari 1940, bertukar ke Jami' Merbau al-Ismail (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah RM 34 dan beliau kekal berkhidmat di situ dehingga 1945.

Antara murid-murid harapannya tersenarailah nama-nama seperti Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz (MB Kelantan), Dato' Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti Kelantan), Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (melaka) dan lain-lain.

Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama' MAIK (seawal 1932) beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadith di Kelantan.

Tuan Guru Haji Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu 6 Jamadilawal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan antara lain 3 orang putera yang dikenali ramai :-

Dato' Haji Husain (ahli perniagaan) - pewakaf Masjid al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu.

Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan pewakaf Sekolah Islam Aman Kota Bharu).

Ustaz Yusoff Zaky @ Dato' Sri Setia Raja (pengarang terkemuka, pengasas Pustaka Dian Kota Bharu dan Penterjemah Tafsir fi-Zilal a-Quran).

[kembali ke atas]

 

Haji Abdul Malek Sungai Pinang (1834 - 1934)

Tokoh guru pondok akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan denganTok Mesir, Tok Ayah Kerasak dan Hj. Nik Mat Dagu. Nama penuhnya ialah Haji Abdul Malek b. Hasan. Lahir di Kg. Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari kalangan keluarga yang sangat miskin. Menuntut ilmu di Patani dan kota suci Mekah selama 14 tahun. Beliau masyhur alim Quran dan kitab Jawi.

Selain mengajar al-Quran dan kitab Jawi beliau banyak terlibat dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja kubur serta amalan ilmu sihir.

Di peringkat negeri pula, beliau turut tersenarai dalam panel yang dijadikan pakar rujuk oleh Sultan Mansor Ibnu Sultan Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguat kuasakan undang-undang Islam seperti hukuman Hudud sepada pencuri dan pembunuh (diarak keliling Pekan), hukuman ta'zir kepada orang yang tidak berpuasa dan tidak menutup aurat (dilumur belaking).

Antara murid beliau ialah Tok Jerulong, Tok Kedah, Tuan Guru Hj. Ali Pulau Pisang, Tuan Guru Hj. Abdullah Senik, Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Osman, Hj Ibrahim Tok Raja, dan Haji Seman Sering dan lain-lain.

Beliau juga merupakan Datuk kepada Dato' Dr. Nik Safiah Karim (Prof. Adjung di Universiti Malaya). Beliau telah meninggal dunia di Sungai Pinang pada malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan 18 Disember 1934.

[kembali ke atas]

 

Haji Ismail Pontianak (1882 - 1950)

Tokoh ulama' perantau. Khatib Masjid Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular. Lahir sezaman dengan Mufti Hj. Idris, Dato' Perdana Haji Nik Mahmud, Tok Seridik dan Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani.

Nama penuhnya ialah Haji Ismail b. Hj. Abdul Majid, tetapi lebih dikenali dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat), bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak - berkhidmat selama suku abad (1910 - 1935).

Meskipun demikian, Hj. Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan. Kerjaya awal tokoh lepasan Mekah ini dalam perkhidmatan MAIK bermula pada 1 Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami' Merbau al-Ismail dengan gaji permulaan RM 47.50 sebulan. Selanjutnya, beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama' MAIK (10 April 1940 - 8 Februari 1947). Selain daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).

Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tok-tok Khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks arab sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbah tanpa teks di tangan. Kepetahan beliau menyampaikan khutbahnya secara spontan, dalam bahasa ibunda pula, terbukti sangat berkesan. Walaupun khutbahnya agak panjang, tetapi ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan bahasa 'segar' bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sedang hadirin tidak jemu atau mengantuk. Beliau bukan sahaja popular di kalangan ahli jemaah dan anak-anak muridnya, malahan sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggakan dilantik menjadi guru agama merangkap imam di Istana baginda.

Khatib panutan ini meninggal dunia di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 29 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labok , Machang - kampung asalnya.

Satu-satunya penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka surat iaitu sebuah karya "bunga rampai".

[kembali ke atas] 

 

Haji Ali Pulau Pisang (1899 - 1968)

Salah seorang guru pondok pertengahan abad ke-20 yang paling ternama di kelantan. Murid harapan Tok Kenali terkanan yang mewarisi ilmu tatabahasanya arabnya. Nama penuh tokoh ulama' kelahiran mukim Pulau Pisang, daerah Badang, Kota Bharu ini ialah Haji Mohd Ali Solahuddin b. Awang. Ibunya bernama Wan Kalsom. Beliau adalah anak ketiga daripada 9 beradik.

Selain Tok Kenali, guru-guru tempatan lainnya termasuk juga Hj. Abdul Malek Sungai Pinang, Tok Pulau Ubi, dan Tok Kemuning. Namanya timbul kerana kealimannya dalam ilmu soraf sehingga digelar "Tok Sibaweh". Tidak hairanlah jika Madrasah al-Falah (nama rasmi pondok Pulau Pisang) yang dibangunkan beliau di Teluk Chekering, Pulau Pisang senang menjadi tarikan para pelajar pondok. Sementelahan pula, seawal 1932 lagi, Hj. Ali dipilih menganggotai Jemaah Ulama' MAIK yang dipengerusikan oleh Dato' Haji Ahmad Maher al-Azhari (Mufti Kerajaan Kelantan).

Berikutan dengan kematian Haji Saad Kangkong (1943), beliau dipinjam sebagai guru agama kelas khas di Jami' Merbau al-Ismail yang menampung ramai pelajar elit dari dalam dan luar Kelantan pada awal dekad 1940-an, berkhidmat sehingga 1 Mac 1946. Selepas itu kembali semula ke kampus Masjid Muhammadi.

Antara murid-murid jempolannya ialah Dato' Hj. Ismail Yusoff, Ustaz Dato' Yusoff Zajy Yaakub, Ustaz Wan Mohd Saghir Wan Konok Pasir Pekan, Ustaz Azhari Abdul Rahman Melor, Hj. Daud Getting, dan lain-lain.

Ulama' kesayangan Dato' Mufti Haji Ahmad Maher ini kembali ke rahmatullah di kediamannya di Kg. Limau Putenge, Pulau Pisang pada pukul 7.05 pagi Khamis 11 Rejab 1388 bersamaan 3 Oktober 1968 dengan meninggalkan dua buah karya bercetak yang mengupas tentang ilmu soraf dan terjemahan surah Yasin.

[kembali ke atas] 

 

Tok Selehong (1872 - 1935)

Tokoh guru pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Bachok dan Tok Kemuning.

Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman b. Haji Osman. Kadang-kadang dipanggil juga dengan nama Haji Abdul Rahman Syair atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang syair.

Seorang daripada guru awalnya tentulah Haji Abdul Malek Sungai Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kemudian menyambung belajar di Pondok Cha-ok, Patani berguru dengan Tok Cha-ok @ Haji Abdullah b. Mohd Akib. Akhir sekali pergi mendalami pengajian di Kota Mekah - berguru dengan Pak Chik Wan Daud Patani, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Shafie Kedah dan ramai lagi.

Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Mekah, pulang ke tanah air (1921) lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah ihsanuddin atau tasawuf dengan Syarh Hikam Ibn Ata'Allah sebagai teks utama. 

Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran Pondok Selehong yang dijadikannya semacam kamar khusus tempat beliau beribadat dan bersuluk.

Hobi tok guru yang pandai bersilat ini pun agak aneh. Beliau bukan sahaja sering keluar memukat ikan dan berburu rusa, malahan meminati haiwan yang cantik-cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayam jantan laklung persis orang pelihara ayam serama zaman ini.

Bapa mertua kepada Tuan-tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga Repek dan Haji Awang Beta ini kembali ke rahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zukaedah 1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan dikebumikan di Kubor Selehong, Tumpat.

Antara murid-muridnya yang masyhur ialah Pak Chu Che Abbas Kelong, Haji Yaakub Kelong, Hj. Pak Man Berangan, Hj. Che Mamat Kok Keli, Hj. Awang Lambor, Pak Su Wil Kg. Dangar, Hj Abdullah Tal Tujuh (datuk saya), Hj Abdul Rahman Tendong, YB Hj. Muhammad Batu Hitam dan Hj. Wan Abdul Latiff Jerteh ( Terengganu) dan lain-lain.

[kembali ke atas]