Latar Belakang Masjid Hj. Abdullah Kg. Tal Tujuh

 

 

Masjid Hj. Abdullah yang terletak di Kampung Tal Tujuh, Pasir Mas iaitu di antara perjalanan dari Bandar Tendong ke Bandar Pasir Mas dalam mukim Sakar. Jarak Masjid ini dengan Bandar Tendong ialah 2.5 kilometer, manakala jarak Masjid ini dengan Bandar Pasir Mas ialah 6.5 kilometer . Di awal penubuhannya, ia dinamakan sebagai Madrasah Tal Tujuh.

Orang yang merancang untuk membina masjid ini ialah Hj. Muda b. Hj. Awang pada tahun 1935 dengan berlatar belakangkan kayu dan beliaulah juga merupakan pengasas kepada Masjid ini. Ia didirikan di atas tanah lot 1359 kepunyaan  Selamah bt. Hj. Awang, isteri kepada Hj. Muda seluas 150 depa. Masjid ini direka bentuk oleh beberapa orang tukang yang terdiri dari beberapa orang tukang Cina dan beberapa orang tukang Melayu. Tukang-tukang Cina biasanya membuat kerja-kerja yang melibatkan simen seperti tuku simen dan kolah memandangkan pada waktu itu orang-orang Melayu tidak mempunyai kemahiran dalam kerja-kerja tersebut. Manakala tukang-tukang Melayu biasanya membuat kerja-kerja yang melibatkan kayu. Antara nama-nama mereka yang terlibat ialah Tok Fian, Jok Pon, Penghulu Tok Yan, Pak Su Che Amat, Penghulu Pak Wil, Pak Kar, Hj. Ibrahim dan Che Kob. Kesemua mereka telah pun meninggal dunia.                                        

Hj. Muda  telah menjadikan Masjid ini sebagai pusat pendidikan dengan berasaskan  sistem secara pondok dan pada ketika itu beliau sendiri menjadi gurunya Sebab itulah ia dikelilingi oleh beberapa buah pondok yang menjadi tempat penginapan bagi para pelajar yang datang untuk belajar. Masjid ini pada waktu itu pernah dijadikan tempat untuk bersolat jumaat memandangkan di Kg Tal Tujuh pada ketika itu tidak mempunyai masjid yang lain. Oleh itu tidak hairanlah jika Masjid ini sejak daripada awal pembinaannya menjadi tumpuan penduduk sekitar yang kini berjumlah lebih 250 orang untuk beribadat dan mengadakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Selepas kematian Hj Muda, orang yang mengambil alih peranan beliau ialah menantunya, Tuan Guru Hj. Abdullah b. Hj. Awang dan serentak dengan itu nama Madrasah ini ditukarkan kepada Madrasah Pondok Hj. Abdullah Kg. Tal Tujuh. Setelah Tuan Guru Hj. Abdullah meninggal dunia pada tahun 1974, pentadbiran Madrasah ini diganti oleh anaknya, Hj. Ab. Halim b. Abdullah. Beliau mendapat pendidikan awal Sekolah Arab Pasir Mas dan kemudiannya menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Agama (Arab) Maahad Muhammadi Merbau, Kota Bharu.

 Memandangkan ahli jemaah semakin bertambah akibat daripada penambahan penduduk dan juga meningkatnya kesedaran penduduk setempat maka Madrasah ini telah diubah suai daripada kayu kepada konkrit dan diperbesarkan pada tahun 1980 dalam usaha memberi keselesaan kepada ahli jemaah. Serentak dengan itu juga namanya ditukarkan kepada Masjid Hj. Abdullah Kg. Tal Tujuh sehinggalah kini. Pembesaran ini merupakan perubahan yang pertama yang dilakukan ke atas Masjid ini. Selepas itu, ia tidak mengalami apa-apa perubahan selama lebih 15 tahun. Pembesaran ini menggunakan pembiayaan daripada sumbangan orang ramai. Luas ruang solat masjid yang baru diubah suai ialah 40 x 30 kaki, belum termasuk ruang serambi di sebelah kanan dan kiri yang mana di situ terdiri pula dua buah kolah untuk lelaki dan perempuan. Luas keseluruhan bangunan Masjid ini ialah 2000 kaki persegi yang mana ia dapat menampung sejumlah 200 orang ahli jemaah dalam satu-satu masa.

 

[Back]        [Ke laman utama]