Ensiklopedia

Home Up Next

Astronomi

Astronomi atau ilmu falak ialah satu kajian tentang bintang dan sistem cakerawala di angkasa lepas termasuklah bulan, matahari, tahi bintang, dan planet. Perkataan astronomi berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud "susunan bintang".

Pada awal penemuan bidang ini, mendapatkan kedudukan bintang dan planet merupakan matlamat utama para ahli astronomi. Kini dengan pertambahan ilmu dan pengetahuan, pelbagai perkara boleh dikaji dan diselidiki, seperti struktur dalaman bintang, bagaimana kewujudannya dan jaraknya dari bumi.

Sebelum terciptanya jam dan kalendar, manusia merujuk kepada kedudukan serta pergerakkan bintang dan matahari untuk menentukan masa, bulan dan tahun. Anehnya pada zaman dahulu, hanya paderi atau alim ulama sesebuah agama sahaja yang arif dalam ilmu melihat bintang. Mereka meramalkan musim menanam dan menuai dengan berpandukan kedudukan bintang di langit dan melakukan perbandingan dengan kedudukan tersebut pada tahun sebelumnya. Disebabkan makanan menjadi matlamat utama untuk terus hidup dan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi maka alim ulama ini menjadi orang yang paling berkuasa dalam masyarakat mereka.

Burung Auk

Burung Auk ialah sejenis burung laut yang kini telah hampir pupus. Haiwan ini hidup di bahagian paling sejuk di hemispiar utara. Pada musim sejuk, burung ini menghabiskan masa mereka di laut secara berkumpulan sementara pada musim panas mereka akan naik ke darat kerana inilah masa mereka membiak.

Badan burung auk ini berwarna hitam di bahagian atas dan putih di bahagian bawah dan hanya 2.54 sm panjang tetapi mempunyai paruh yang kuat. Auk besar yang berdiri setinggi 76.2 sm telah pun pupus pada tahun 1844. Burung ini mempunyai sayap yang terlalu kecil sehingga tidak  boleh terbang tetapi mereka cekap berenang.

Dengan keadaan sedemikian, auk besar ini agak sukar untuk melindungi diri daripada musuh. Pada abad ke-17 dan ke-18, nelayan telah memburu dan membunuh burung ini untuk mendapatkan sumber makanan dan pakaian (daripada bulunya) serta untuk dijadikan umpan.

Burung auk biasa, juga mempunyai sayap yang kecil tetapi mereka masih boleh terbang walaupun tidak untuk jarak jauh. Tetapi seperti mana auk besar, burung auk biasa ini juga amat cekap berenang dan menyelam. Makanan utama haiwan ini ialah ikan. 

 

Previous      Next