Kesihatan

Home Up Next

Minum air waktu sahur dari perspektif perubatan

 

Oleh Dr. Osman Nasir

Bersahur itu sangatlah dituntut kepada kita para Saim (orang-orang yang berpuasa). Diriwayatkan Ahmad dari Abu Sa'id bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yng maksudnya:

"Bersahur itu adalah suatu keberkatan. Maka janganlah kamu meninggalkannya walaupun dengan hanya meneguk air seteguk,kerana Allah dan para Malaikat berselawat atas orang-orang yang bersahur."

Sunah bersahur ini membezakan puasa cara Islam dengan puasa agama dan bangsa lain di dunia ini. Diriwayatkan oleh Muslim dari Amer ibn 'Ash, bahawa Rasulullah sa..w bersabda yang bermaksud:

"Yang menceraikan antara puasa kita dengan puasa Yahudi Nashara (ahli kitab) ialah makan sahur."

Begitu kuat penekanan dari Rasulullah s.a.w kepada kita agar bersahur sehingga kalau rasa tidak boleh makan kerana kenyang atau lain-lain sebab cukuplah dengan hanya seteguk air.

Apa Fungsi Air kepada kita?

Penekanan tegas Nabi agar seteguk air pun baik untuk bersahur jika kita rasa tidak hendak makan menunjukkan bahawa kehadiran air dalam tubuh kita telah diketahui sangat pentingnya oleh Rasulullah s.a.w.. Dan sains perubatan telah lama mencatitkan ini dalam buku-buku perubatan.

Air dan Fungsinya.

Air sangat penting kepada tubuh. Air boleh berfungsi sebagai pelarut dan juga sebagai 'pengakutan nutrien' tak organik. Air diperlukan dalam pembentukan struktur tisu seperti darah sempurna, otot dan tulang.

Minum Air waktu Sahur

Penyejatan air dari kulit dan penghembusan keluar air ke udara dari peparu penting untuk pengawal aturan suhu tubuh.

Air memindahkan suhu dari satu bahagian tubuh kebahagian lain; di mana perpindahan air ini menstabilkan suhu tubuh.

Tubuh menggunakan air untuk membolehkan buah pinggang berfungsi secara normal. Kebanyakan bahan kumuhan tubuh dikumuhkan melalui buah pinggang.

Cecair tubuh menjadi medium (pengantara) untuk enzim dalam keadaan larut, hormon dan koenzim.

Enzim ialah protein yang memulakan dan mencepatkan tindakbalas.

Hormon ialah rembesan kelenjar yang bertindak sebagai pengutus kepada organ tubuh dengan merangsangkan beberapa proses kehidupan dan merencatkan yang lain.

Koenzim ialah sebahagian enzim yang diperlukan untuk pengaktifan molekul protein untuk membentuk satu enzim yang sempurna.

Air juga menolong menyelenggarakan imbangan elektrolit dan juga bertindak sebagai pelincir dalam pencernaan serta proses-proses lain dalam tubuh.

Air Liur

Air liur memudahkan pengunyahan dan penelanan. Kadar air liur sentiasa mesti cukup. Kadar pengaliran air liur yang rendah (kadar air liur rehat secara purata ialah 0.208 ml/minit, dapat meningkatkan kejadian karies (caries) kerana ia mengganggu pembuangan sisa-sisa makanan kariogenik di dalam mulut. (karies -kebusukan dan luluhan bahan pada gigi).

Air liur yang dirembeskan dalam keadaan biasa sedikit sahaja mengandungi glukosa dan tidak ada sukrosa.

Apabila makanan yang kaya dengan gula dimakan kepekatan gula dalam air liur meningkat lebih daripada 1 mg/ml sehingga menghasilkan pH yang cukup rendah untuk memulakan pendemineralan gigi.

Dengan itu, pengambilan makanan yang kaya dengan gula dan kadar pengaliran air liur yang rendah membuatkan gula menjadi tersedia ada kepada mikroorganisma dalam jangka masa yang panjang sehingga dapat menghasilkan asid yang cukup untuk membolehkan karies gigi berkembang.

Disinilah saranan Rasulullah s.a.w. agar kita berbuka dengan sedikit juadah manis seperti kurma adalah satu saranan yang baik untuk kesihatan tubuh sekaligus merupakan saranan yang saintifik.!

Minum Air Waktu Sahur

Memandangkan betapa pentingnya air dalam kehidupan manusia, tidaklah hairan mengapa tanpa air dalam beberapa hari boleh menyebabkan maut.

Kita mungkin sudah terbaca berita bagaimana beberapa orang mangsa gempa bumi di Turki baru-baru ini ditemui masih hidup walaupun sudah tertimbus dalam tanah dan runtuhan bangunan lebih sepuluh hari - mereka itu masih hidupkerana dapat minum air sedikit dari pengaliran dan titisan air hujan yang ada.

Malah di Taiwan mangsa gempa bumi yang ditemui masih hidup dalam keadaan yang sama menceritakan bagaimana mereka terpaksa minum air kencing sendiri selain dari tetesan air dalam bumi.

Ini menunjukkan bahawa manusia boleh bertahan hidup tanpa makan tapi mesti ada air.

Dalam keadaan normal, sebanyak tiga liter air hilang daripada tubuh setiap hari. Sebahagiannya dikeluarkan sebagai air kencing, ada melalui kulit,paru-paru dan najis.

Oleh itu, kira-kira tiga liter perlu diambil setiap hari untuk menggantikan apa yang telah dikumuhkan.

Sumber air adalah daripada minuman, hasil pengoksidaan makanan dan makanan basah. Air daripada pengoksidaan makanan dan bahan makanan basah dirujukkan sebagai air metabolik.

Minum Air Sihatkan Tubuh- Jauhkan Penyakit.

Kajian sains menunjukkan bahwa walaupun satu daripada sebab sesuatu penyakit dalam tubuh kita adalah kerana kehadiran kuman, bakteria dan lain-lain unsur luar.

Tapi punca akar umbinya ialah kerana sistem perparitan dalam tubuh yakni sistem aliran darah dan lain-lain sistem perkumuhan telah tersumbat dengan banyaknya bahan toksid dan lain-lain bahan kotor yang wujud kerana makan terlalu banyak sehingga tidak sempat dihazamkan; kurang minum air, kurang makan sayur dan buah-buahan.

Cara yang paling baik ialah minum air bersih setiap hari dan minum jus buah-buahan (buat sendiri di rumah untuk elakkan campuran bahan lain di kedai.)

Meminum air yang banyak boleh menyebabkan sistem yang tersumbat dalam tubuh dibersihkan dan terkeluarnya bahan yang tidak diperlukan termasuk bahan toksid.

Orang yang puasa hendaklah banyak minum air ketika sahur dan berbuka. Kurangnya air dalam tubuh boleh menyebabkan dehaidrasi (dehyration)- kekeringan tubuh.

Maka itulah sebabnya agama Islam memastikan bahawa perintah puasa bersesuaian dengan SUNAH penciptaan manusia- hanya berpuasa dari Subuh hingga Maghrib. Ini sekaligus mengelakkan dari bahaya dehaidrasi dan lain-lain penyakit.

Inilah sebabnya kita disuruh berbuka dengan minum air dan makan bahan makanan manis sedikit.

Dan inilah juga yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa bangsa-bangsa lain.

Berpuasalah sebagaimana Nabi kita berpuasa: pasti kita selamat dan sihat.

 

 

[Kembali ke atas]

Mengenal penyakit cerebral palsy

 

Oleh NAJIBAH HASSAN

Sekali imbas, jika dilihat dari riak wajah, fizikal mahupun mentalnya, Siew Mei (bukan nama sebenar), 4, tidak ada bezanya jika dibandingkan dengan anak-anak normal yang lain.

Malah, kanak-kanak comel yang sihat ini juga memiliki kemahiran bersosial dan mudah mesra dengan sesiapa saja di sekelilingnya.

Bagaimanapun, jika diteliti cara dia berjalan, Siew Mei mengalami kesukaran kerana kedua-dua belah tapak kakinya agak sedikit menjingkit dan tirus ke dalam.

Menurut ibunya, Siew Lye ketika anak bongsunya mencecah usia setahun, tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa dia sudah boleh mula berjalan.

``Anak saya tidak menunjukkan sebarang perkembangan yang berkaitan dengan pergerakan (motor) seperti kanak-kanak normal lain seusianya.

``Saya menyedari bahawa perkembangan anak saya agak lambat berbanding kanak-kanak normal lain dan dia tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia boleh berjalan dan duduk,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebaliknya, ketika mencecah umur dua tahun, Siew Mei hanya menghengsot-hengsotkan punggungnya untuk bergerak.

Walaupun dari segi perkembangan intelektualnya Siew Mei boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang pintar, namun perkembangan pergerakan (motor) yang agak lewat menimbulkan kebimbangan ibunya.

Setelah menjalani pemeriksaan doktor, Siew Mei disahkan menghidap cerebral palsy (CP) iaitu sejenis spastik diplegia yang mengakibatkan kekejangan otot-otot pada kedua-dua belah kakinya.

Kedua-dua belah kaki Siew Mei menjadi spastik yang menyebabkan keabnormalan ketika berjalan, dia terpaksa menjingkit dan kedua-dua belah tapak kakinya termasuk ke dalam.

Menurut laporan doktor, masalah yang dialami oleh Siew Mei mempunyai kaitan dengan sejarah kelahirannya.

Hasil siasatan doktor mendapati, Siew Mei adalah bayi yang tidak cukup bulan dan kedudukannya juga songsang ketika dilahirkan.

Perkembangan sebagai janin yang belum cukup matang ketika itu menyebabkan Siew Mei memerlukan bantuan pernafasan (oksigen) selama lapan hari bagi membolehkan paru-parunya berfungsi.

Selain memerlukan bantuan pernafasan, Siew Mei juga mempunyai rekod pernah mengalami masalah nafas terhenti (apnea) yang memungkinkan bekalan oksigen ke otaknya terganggu.

Apabila masalah ini berlaku, ia boleh menjejaskan fungsi saraf pada otak yang mengawal perkembangan pergerakan.

Bagaimanapun, Siew Mei yang telah menjalani rawatan ubat-ubatan dan pembedahan untuk membetulkan otot-otot kedua-dua belah kakinya kini menunjukkan perubahan. Dia mungkin akan dapat berjalan seperti kanak-kanak lain.

PEMBENTUKAN otak yang sempurna merupakan titik permulaan yang paling penting dalam perkembangan awal kehidupan manusia.

Ketidaksempurnaan atau sebarang kecederaan yang berlaku pada otak memungkinkan fungsinya terganggu sekali gus menjejaskan lain-lain fungsi tubuh yang berkaitan dengannya.

Kecederaan otak yang dialami sama ada sebelum, semasa atau selepas dilahirkan boleh menyebabkan fungsi saraf yang mengawal pergerakan dan tubuh termasuk kaki dan tangan (postur) seseorang terganggu.

Pakar Perunding Pediatrik dan Kaji Saraf, Hospital Selayang, Dr. T. Malinee berkata, masalah ini yang lebih dikenali sebagai cerebral palsy menyebabkan pergerakan (motor) otot-otot gagal berfungsi secara normal.

Menurut beliau, CP menyukarkan kanak-kanak terbabit melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak seusianya seperti berjalan, merangkak atau mengambil sesuatu objek.

``Kekejangan otot yang berlaku ini menyebabkan cara mereka berjalan tidak normal seperti menjingkit, otot-otot tangan yang lembik, tidak dapat berdiri dengan seimbang dan sebagainya,'' katanya.

Bagaimanapun, sebahagian besar kanak-kanak spastik ini mempunyai tahap perkembangan mental yang cukup baik.

PUNCA

Dr. Malinee memberitahu, meskipun punca sebenar CP tidak diketahui, namun ia dikaitkan dengan kecederaan pada otak yang berlaku sama ada dalam proses kehamilan, semasa dan selepas bayi dilahirkan.

``Pakar-pakar perubatan masih dalam proses kajian untuk mencari punca sebenar CP,'' katanya.

Puncanya terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

A. Semasa dalam kandungan

- Jangkitan kuman seperti rubella, toxoplasmosis, chicken pox, cytomegalovirus (CMV) dan AIDS boleh menjejaskan pembentukan otak janin dalam tempoh empat bulan pertama kehamilan.

- Pendedahan kepada bahan-bahan toksik seperti minuman keras, tabiat merokok dan penyalahgunaan dadah. Bahan-bahan kimia yang terkandung dalam kesemua elemen itu boleh merencatkan pertumbuhan organ-organ penting janin seperti otak, buah pinggang, jantung dan sebagainya.

- Kekurangan zat pemakanan. Ibu yang kurang mengambil makanan yang seimbang seperti asid folik dan vitamin boleh menjejaskan pertumbuhan janin.

- Faktor genetik. Masalah terlebih kromosom Trisomi 13 dan Trisomi 18 boleh mengakibatkan muka, jantung, otak, kaki dan tangan janin mengalami kecacatan.

Terdapat kemungkinan menghidap Penyakit Down Syndrome apabila terlebih kromosom Trisomi 21.

- Ibu-ibu yang menghidap penyakit-penyakit yang serius seperti diabetes, jantung, buah pinggang, tiroid dan epilepsi.

- Kehamilan kembar

- Bayi yang songsang

B. Semasa kelahiran

Dengan kecanggihan dan kepakaran dalam bidang obstetrik pada masa kini, risiko untuk bayi mengalami kecederaan pada otak semasa dilahirkan terlalu rendah.

Kriteria yang meningkatkan risiko seseorang bayi mendapat CP semasa dilahirkan ialah:

- Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan (premature). Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan mempunyai risiko mendapat CP yang cukup tinggi berbanding bayi yang normal.

- Bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang kurang daripada 2.5 kilogram. Dianggarkan risiko bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang kurang daripada 1.5 kilogram mendapat CP ialah antara lima hingga lapan peratus.

Malah, bayi-bayi ini juga mempunyai risiko 25 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat CP berbanding bayi yang dilahirkan normal.

- Bayi yang lemas dan tertelan najis semasa dalam kandungan (meconium aspiration).

- Penyakit kuning (jaundis). Ia berpunca daripada kekurangan G6PD, masalah rhesus darah yang tidak sesuai antara ibu dan bayi dan kelahiran tidak cukup bulan.

Kandungan billirubin yang tinggi boleh merosakkan otak.

 

C. Selepas dilahirkan

 

- Asphyxia. Masalah kesukaran bernafas seperti penyakit asma menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.

- Shaken Baby Syndrome. Bayi yang digoncang dengan kuat supaya berhenti menangis boleh menggegarkan bahagian otak.

- Keracunan ubat-ubatan seperti panadol, minyak tanah dan sebagainya.

- Tertelan benda asing.

- Kemalangan jalan raya yang mencederakan kepala dan otak.

Jenis-jenis CP

- Spastik. Kekejangan pada bahagian sebelah kanan tubuh. Jika tangan dan kaki kanan terbabit ia dipanggil hemiplegia.

Jika spastik ini membabitkan kedua-dua belah bahagian kaki ia dipanggil diplegia.

Jika ia membabitkan seluruh tangan dan kaki dinamakan quadriplegia.

- Diskinetik. Pergerakan abnormal yang tidak boleh dikawal.

- Ataxic. Otot-otot tangan atau kaki yang lembik. Bagaimanapun, kategori ini paling jarang berlaku.

- Campuran kesemuanya.

Masalah-masalah yang dikaitkan dengan CP

Dianggarkan lima hingga 60 peratus kanak-kanak yang menghidap CP menghadapi beberapa masalah lain seperti:

- Lewat perkembangan mental

- Epilepsi

- Kerencatan otak

- Masalah pembelajaran

- Masalah pertuturan

- Masalah kepekakan

- Masalah penglihatan seperti juling, rabun atau hilang penglihatan

- Masalah emosi

 

Rawatan

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang menghidap CP dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan doktor kerana terdapat kaedah yang boleh membantu masalah anak-anak ini.

Kaedah yang digunakan ialah:

- Ubat-ubatan. Ia untuk mengurangkan masalah ketegangan otot-otot dan masalah epilepsi.

Selain itu suntikan ubat Botulinum Toxin pada bahagian otot-otot yang tegang juga dapat membantu mengurangkan keadaan anggota tubuh yang spastik.

- Pembedahan. Sekiranya rawatan ubat-ubatan gagal, kaedah pembedahan akan dilakukan dengan memotong dan memanjangkan otot-otot yang tegang.

- Proses pemulihan - Rehabilitasi. Proses pemulihan kanak-kanak CP ini merangkumi pakar fisioterapi, juru pulih cara kerja, pakar terapi pertuturan, pakar telinga, pakar mata dan pakar psikologi.

Selain itu, ia juga membabitkan guru-guru sekolah khas yang mempunyai latihan dalam pembelajaran kanak-kanak istimewa.

Penggunaan splint, kasut khas dan alat-alat bantuan orthotic termasuklah corner feat iaitu kerusi khas, standing frame, rollator dan walker juga diperlukan.

 

[Kembali ke atas]

 

Sakit tulang belakang semasa mengandung

 

Ini adalah rencana dalam siri "Masalah dan komplikasi semasa mengandung"

Sakit belakang semasa mengandung adalah perkara biasa yang berlaku. Ia selalunya berlaku pada bahagian tengah atau bawah tulang belakang. Selalunya ia semakin teruk bila usia kandungan meningkat.

Kebanyakan masalah ini tidaklah begitu serius. Bagaimanapun, sekiranya ia berlaku dengan cepat atau disertai dengan tanda-tanda lain seperti pendarahan dsb., rawatan segera adalah diperlukan.

Makanan kesihatan yang mengandungi kalsium adalah penting untuk ibu yang mengandung. Selalunya ia telah disertakan bersama-sama vitamin yang diambil seperti Obimin, dsb.

1. Awal mengandung

Perubahan hormon yang berlaku semasa mengandung boleh menyebabkan ligamen yang menyokong tulang belakang meregang (relax). Ini boleh menyebabkan rasa sakit belakang. Anda disaran melakukan langkah- langkah yang sesuai untuk sesuatu aktiviti, seperti cara duduk yang betul, cara mengangkat barang yang betul, dsb.

Rasa sakit belakang yang disertai dengan tanda-tanda seperti 'cramp' di bahagian bawah perut atau pendarahan mungkin disebabkan oleh keguguran atau 'ectopic pregnancy' iaitu mengandung di luar rahim. Dapatkan rawatan segera untuk menangani masalah ini.

2. Pertengahan mengandung

Sakit belakang pada waktu ini disebabkan oleh kombinasi seperti peregangan ligamen dan pertukaran pada 'posture' badan yang berlaku kerana berat bayi yang semakin bertambah. Amalkan langkah-langkah yang perlu (lihat di atas).

3. Penghujung mengandung

Sakit belakang waktu ini mungkin disebabkan oleh waktu melahirkan yang sudah hampir.

 

[Kembali ke atas]

 

Bahaya hipertensi pada buah pinggang

 

Oleh NAJIBAH HASSAN

DI seluruh dunia, tekanan darah tinggi atau juga dikenali sebagai hipertensi merupakan masalah kesihatan yang serius.

Di Amerika Syarikat umpamanya, 25 peratus orang dewasa di negara itu menghidap hipertensi.

Di Malaysia, kajian Kementerian Kesihatan pada 1996 menunjukkan 30 peratus penduduk yang berusia 30 tahun menghidap hipertensi.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Zaki Morad berkata, tiga faktor yang menyebabkan hipertensi berbahaya ialah kerana penyakit ini menyerang dalam diam dan ia merosakkan organ-organ kritikal dalam badan seperti jantung, buah pinggang dan otak.

``Hampir sebahagian besar penyakit jantung diakibatkan sepenuh atau sebahagiannya oleh hipertensi,'' kata beliau.

Menurut Dr. Zaki, hipertensi yang tidak terkawal dan berlarutan bertahun-tahun turut merosakkan fungsi buah pinggang.

Pada masa yang sama penyakit buah pinggang juga boleh mengakibatkan berlaku hipertensi.

Namun, jika dilihat secara keseluruhan, penyakit buah pinggang yang menjadi punca hipertensi menyumbangkan kurang daripada 10 peratus daripada bilangan pesakit yang menghidap hipertensi.

Dr. Zaki berkata, bagi setiap sejuta penduduk dianggarkan lebih daripada 100 kes baru kegagalan buah pinggang dilaporkan setiap tahun.

Di kalangan warga tua, nisbah ini lebih tinggi.

``Walaupun banyak program dijalankan, penekanan lebih banyak diberi kepada program kawalan diabetes dan hipertensi kerana ia adalah punca utama kegagalan fungsi buah pinggang,'' katanya.

Buah pinggang yang sihat akan membersihkan darah dengan mengumuhkan bahan-bahan bua- ngan dan air yang berlebihan dari dalam tubuh.

Buah pinggang akan menukarkan bahan-bahan buangan dan air yang berlebihan ini menjadi air kencing.

Bagi memastikan tulang kuat dan darah sentiasa sihat, buah pinggang juga akan menghasilkan hormon tertentu.

Selain itu, ia juga berfungsi mengseimbangkan garam dan bahan-bahan mineral dalam darah.

Apabila kedua-dua buah pinggang tidak lagi berfungsi, tubuh akan menyimpan cecair dan mengakibatkan tekanan darah meningkat.

Pada masa yang sama, bahan-bahan buangan yang terdapat dalam tubuh juga akan meningkat.

Tubuh juga tidak mampu menghasilkan sel-sel darah merah.

Pada peringkat ini, pesakit disahkan sebagai menghidap penyakit buah pinggang pada peringkat akhir (end-stage renal disease - ESRD).

Menurut Dr. Zaki, kegagalan buah pinggang berfungsi disenaraikan sebagai sepuluh punca utama kematian.

Kata beliau, 70 peratus pesakit yang menghidap masalah buah pinggang akan mengalami hipertensi.

``Hipertensi yang serius dan tidak dikawal akan merosakkan buah pinggang.

``Pun begitu, hipertensi yang dikawal dengan baik tidak akan menyebabkan fungsi buah pinggang merosot dengan cepat,'' katanya.

Hipertensi merupakan istilah yang digunakan apabila tekanan darah meningkat lebih tinggi daripada paras biasa.

Tekanan darah yang normal adalah 130/85. Bagaimanapun, pakar-pakar perubatan berpendapat tekanan darah yang optimum ialah 120/80. Ukuran tekanan darah 120mm Hg (tekanan merkuri dalam milimeter) adalah tekanan sistolik atau bermakna tekanan semasa jantung mengepam.

Bacaan 80mm Hg adalah tekanan diastolik atau bermaksud ukuran semasa jantung dalam keadaan rehat.

Tekanan darah merupakan ukuran yang digunakan untuk mengukur sejauh mana jantung bekerja mengepam darah ke seluruh tubuh.

Andainya tekanan sistolik dan diastolik meningkat, jantung juga perlu bekerja lebih keras.

Dalam jangka masa yang lama, keadaan ini boleh mengakibatkan pembuluh darah dan jantung rosak.

Malah, hipertensi juga boleh mengakibatkan penyakit jantung dan strok.

Dr. Zaki memberitahu, kebanyakan pesakit buah pinggang mengalami masalah jantung kerana mereka menghidap hipertensi.

``Hipertensi yang tidak terkawal dan mencatatkan bacaan terlalu tinggi akan merosakkan unit-unit halus yang berfungsi dalam buah pinggang,'' ujarnya.

Sekiranya seseorang menghidap hipertensi dan tidak menghadapi masalah buah pinggang, gejalanya adalah minimum.

Hipertensi boleh berlaku dengan sendiri atau disebabkan oleh penyakit-penyakit lain.

Hipertensi essential atau juga dikenali sebagai hipertensi primer merupakan sejenis hipertensi yang tidak diketahui punca sebenarnya.

Dianggarkan lebih 90 peratus daripada keseluruhan kes hipertensi adalah daripada jenis ini.

Bagaimanapun, jika hipertensi disebabkan oleh penyakit-penyakit fizikal atau ubat-ubatan, keadaan ini lebih dikenali sebagai hipertensi sekunder.

``Dianggarkan antara 5 hingga 10 peratus pesakit yang menghidap hipertensi mengalami hipertensi jenis ini,'' katanya.

Dr. Zaki memberitahu, kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pada 1996 mendapati pesakit-pesakit yang mengalami hipertensi yang didiagnos adalah rendah.

Daripada kalangan mereka yang dikenal pasti menghidap hipertensi, jumlah yang menerima rawatan adalah rendah.

Ini kerana selain tidak menunjukkan gejala, kebanyakan pesakit tidak mengetahui mereka menghidap hipertensi.

Apabila pesakit mengetahui bahawa mereka menghidap hipertensi, biasanya mereka telah mendapat komplikasi pada buah pinggang, mata, strok dan jantung.

``Sehubungan itu, sebaik-baiknya kita menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali,'' katanya.

Hipertensi amat mudah dipengaruhi faktor-faktor seperti tekanan sama ada mental, fizikal dan emosi.

Katanya, peratus risiko untuk menghidap hipertensi ini meningkat seiring dengan faktor umur.

Beliau memberitahu, kajian yang dilakukan di kalangan masyarakat di Jepun yang mengambil garam secara berlebihan mendapati peratus rakyat negara itu yang menghidap hipertensi juga adalah tinggi.

Jenis kegagalan buah pinggang

Terdapat dua jenis masalah kegagalan buah pinggang iaitu:

l. Kegagalan buah pinggang jenis akut. Jenis ini melibatkan kegagalan dalam jangka masa sementara dan ia akan pulih semula.
2. Ia biasanya disebabkan oleh trauma, kehilangan darah, cirit-birit, tersilap makan ubat dan sebagainya.
3. Kegagalan buah pinggang jenis kronik. Jenis ini melibatkan kegagalan buah pinggang yang rosak secara kekal.
4. Fungsi buah pinggang akan merosot dari masa ke masa sehinggalah ia tidak dapat menampung keperluan tubuh.
5. Jika keadaan itu berlaku, pesakit perlu bergantung kepada dialisis atau perlu menjalani pemindahan buah pinggang.

Punca

1. Diabetes
2. Hipertensi
3. Radang buah pinggang
4. Penyakit-penyakit batu karang
5. Penyakit-penyakit genetik
6. Jangkitan kuman.

Faktor hipertensi

Beberapa faktor yang dikaitkan dengan hipertensi ialah:

1. Tekanan
2. Berat badan berlebihan
3. Minum minuman keras secara berlebihan
4. Diet yang mengandungi kandungan garam yang tinggi.

Gejala

Dalam tempoh beberapa tahun, hipertensi mungkin tidak menimbulkan sebarang gejala.

Serangan jantung atau strok adalah antara gejala awal yang boleh dikenal pasti menunjukkan seseorang itu menghidap hipertensi.

Sehubungan itu, pemeriksaan tekanan darah adalah penting sekurang-kurangnya setahun sekali.

Bagi hipertensi yang serius, komplikasi yang biasanya dihidapi oleh pesakit ialah:

1. Sakit kepala
2. Degupan jantung yang tidak menentu
3. Mudah berasa letih
4. Sakit dada
5. Hidung berdarah
6. Pendek nafas
7. Pening kepala.

Rawatan

Hipertensi amat mudah dirawat melalui ubat-ubatan, kawalan makanan yang betul dan gaya hidup sihat.

Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mencegah hipertensi ialah:

1. Mengawal berat badan
2. Melakukan senaman antara tiga hingga empat kali seminggu
3. Mengawal tekanan darah
4. Tidak merokok
5. Tidak mengambil garam dalam jumlah yang banyak
6. Melakukan pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali


[Kembali ke atas]