Karya

Home Biodata Keluarga Kampungku

 

Karya
Agama
Lawatan
Koleksi
Tokoh
Kesihatan
Mutiara Kata
Links Pilihan
Ensiklopedia
Misteri Sains
Buku Pelawat
Aplikasiku

Koleksi Khutbah

Berapa umur anda ? Anda ingin tahu berapa lama anda hidup sekarang ? Untuk mengetahuinya klik di sini.
[Kira Umur]

Tercari-cari maklumat. Ingin mendapatkannya ! klik di sini.
[Perpustakaan Digital Islam]

Adakah anda bosan ? Untuk menyelesaikannya anda boleh bermain permainan tictactoe dengan klik link di bawah
[TicTacToe]

Magic Cursor

WEB POll

Pendidikan
Adakah sistem pendidikan di Malaysia sekarang patut diubah ?

Ya
Tidak
Kurang Pasti


Current Results

Heading
Pilihan satu
Pilihan dua
Pilihan tiga
Pilihan empat
Letakkan tetikus anda pada pilihan di atas.

Halaman ini terdiri daripada beberapa koleksi puisi dan sajak yang menarik untuk dihayati.

Akhbar

Kelmarin, anak bisa meracun minda
dengan bicara pura-pura
menguasai nusa
lantas kaupatahkan
dengan penawar api
kesedaran
kautanam benih
berputiklah kebebasan

Kini, kaubina bahtera fikir
dengan jutaan informasi
demi belayar
di laut peradaban
meski kadang-kadang kami
lemas
dalam arus kebuntuan

Keranamu, periuk terisi
dengan corong nasib
hati terdendang
dengan lagu teladan
iramanya sempadan
meski kadang-kadang
taruh digali
jiwa dimati

Akhbar, ibarat jambatan
terhubung dua lapisan
menyeberang sungai ragu
meski kadang-kadang
banjir wasangka
menenggelamkan titian.

Oleh :Musyiri Peet

 

Ilmu

Kau seorang buta
tanpa ilmu di dada
sentiasa lemah teraba-raba
menghadapi pancaroba dunia

Kau seorang pekak
tidak mendengar kalimah hikmat
memandu arahmu
kaulena sesat

Kau seorang bisu
suaramu tenggelam
tiada harapan dan perhatian
kau kan hilang

Buta, pekak dan bisu
tetap milikmu abadi
selagi ilmu tiada kaumiliki

Oleh : Mohd. Faizal Rahmat
















Malam Sepi

Sendiri
malam ini sepi lagi
dingin malam terasa
malam sepi datang lagi
parah jiwaku
jiwaku kosong di malam sepi
keresahanku terbawa igauan
malam sepi
hanya lampu neon kuning
menerangi
malam sepi
terlontar aku dibawah
lampu neon kuning
malam sepi
sentiasa berganti hari
adakah aku akan berjaya

Oleh : Imran Mohd. Yusof


Kedamaian

Nostalgia hidup menjanjikan rasa
kesyukuran bertambah
menjalin suasana
menguji cita rasa fantasia insan
terdampar mencari jalan
sebuah pengertian

Tekad membasahi kudrat
menemukan antara dua rasa
kepuasan di atas kenikmatan
menjamin kehidupan
menjamin masa keemasan
agar meja kedamaian
sentiasa bertandang
dalam jiwa sabar insan kerdil

Namun suratan takdir
makin mendekatkan diri
jalan penuh kedamaian.

Oleh : Norhayati Mohamad

Pantai Hidup

Pantai hidup menunggu lagi
ombak milenium baru membawa
kisah dari gunung
kisah dari rimba
kisah dari angkasa
musafir yang tidak pernah kenal
erti lelah dan kalah
pasti lalu di sini
meninggalkan jejak-jejak bakti
tidak terhakis oleh abad
kerana itulah jejak nadi
generasi yang berani.

Oleh : Siti Zaleha M. Hashim






Malu

maluku kepada yang Esa
kerana sering berbuat dosa
maluku kepada keluarga
membantah kata-kata mereka
maluku kepada anak bangsa sendiri
mungkin menerima kemajuan
atau dijajah oleh pembangunan
diresapi budaya barat
maluku melihat kesungguhan
orang lain
sedangkan aku terkapai-kapai
maluku kepada diri sendiri
terpaku melihat
dan mengenang diriku
sering terlena dalam khayalan.

Oleh : Zuraini Hanip

Kemelut Impian

Di dalam kegelapan
aku mencari sinaran
sinaran yang bergemerlapan
yang pasti akan menyinariku

Sehingga kini
aku masih sangsi tiada pasti
mampukah aku memilikinya
sedangkan
perjuanganku sentiasa disusuli
dugaan

Kini aku sedar
aku perlu menempuhi pahit maung
perjuangan ini

Pastikan impian akan tercapai
biarpun sinaran yang menjadi
rebutan
inikah yang dikatakan
kemelut menuju impian.

Oleh : Akhrom Ibrahim



Tiada Yang Pasti

Aku cuba lari dari dihantui
aku cuba lari dari dibayangi
oleh perasaan takutku sendiri

Terdiam
terdiam aku sendirian
terduduk aku kesepian
mencari jawapan yang pasti

Sepiku
sesepi mawar berduri
selayu-layu wajahnya
tiada seri lagi
sekadar menemani unggas
yang keriuhan
aku cuba mencari
aku cuba memahami
apakah rencana yang ditakdirkan
apakah masalah yang diperkatakan
aku terdiam lagi
mencari erti sebenar jawapan itu
sehingga aku kebingungan dan
ketandusan.

Oleh : Marina Rosli

Ombak

Deruan ombak di pagi syahdu
memulas resah mengguris kalbu
penanti sepi seorang aku.

Ombak,
hadirmu mengejutkan
aku tersadar daripada lena
keluar daripada kegelitaan malam.

Ombak,
kedatanganmu menolak aku
mencapai semangat jitu
menginsafkan anak watan
yang sering diburu alpa.

Ombak,
aku yakin engkau tidak
akan terhenti mencoretkan
dairi hidupmu
selagi bayu Ilahi menghembus.

Oleh : Shamsuddin Nordin

Kerasnya Pengertian Hidup

Dulu neon kota menggamitku
berlari mengejar impian
meninggalkan desa tercinta
tidak pedulikan air mata ibu

Kini di bawah hutan batu
kelabu ini
aku mengerti perit getirnya
ayah bonda menangani hidup
kerana aku mendepani
segalanya
di kota metropolitan bermata
duitan

Aku tidak menyesal atas
penghijrahan ini
walau sesekali timbul rinduku
pada raut ibu yang damai
pada wajah desa yang nyaman
kerana bau kota yang kusedut
mengeraskan hatiku
untuk melangkah terus ke hadapan

Tunggulah ibu
ke pangkuanmu pasti kukembali
setelah berjaya
Oleh : Jamaliah Hj. Shareil

Tika Dia Menghilang

Alam gelap disimbah hening
dan antara titisan embun dini hari
aku dan dia meredah kesuraman
sepi
yang kian hanyut di arus waktu
Sesekali dia menghilang
aku terfana di sudut keterasingan
kaku dan bungkam
tika itu aku bagaikan salju
dingin
dan
beku.

Oleh : A. Halim Sunny

Di Saat Kita Bersama

Langkah kususun
hanya ke suatu destinasi
ke perkampungan sepi
Kicauan burung

menyambutku ke daerahmu
semoga engkau seriang mereka
di sisi Yang Esa

Pengorbananmu menarik
aku ke desa ini
seketika meneroka
mengungkit abad yang lalu
sesaat bersamamu

Dengan cahaya yang kau berikan
telah menerangi kegelapan
dan menutup pintu kejahilan
mengubah usia pemikiran

Akan aku semai
pada generasi hadapan
dengan benih yang engkau berikan
bersama restu dan izinmu.

Oleh : Sabri Sulaiman

Wanita, kau istimewa

Wanita , kau adalah istimewa
Sebagai anak kau harta ayah bonda
Kelahiranmu dulu disambut gembira
Kerana kau adalah perhiasan kehidupan dunia

Kepada keduanya, berbaktilah sentiasa
Berkata-kata dengan mereka, rendahkan lah suara
Kerana itulah akhlakmu yang sepatutnya
Muga-muga hidupmu sentiasa bahagia

Wanita, kau anak harapan.
Keduanya tidak mengharapkan balasan
Cuma doa dan juga ingatan
Namun jasa mereka jangan kau lupakan

Wanita kau anak solehah
Jadilah seperti Fatimah
Yang sangat mengasihi baginda Rasulullah
Dan sangat taat kepada Allah

Dan kini kau telah dewasa
Disisimu telah ada teman setia
Bersama susah bersama gembira
Melalui liku hidup berumahtangga

Kau kini seorang isteri
Dirumah suamimu sebagai permaisuri
Kepada dirinya tinggikanlah pekerti
Kemuncak agama dan akhlak yang terpuji

Hati suami sentiasa dijaga
Agar rumahtangga aman bahagia
Disisi Allah disediakan pahala
Sehidup semati bersama disyurga

Khadijah jadikanlah tauladan
Yang banyak melakukan pengorbanan
Segala harta habis dibelanjakan
Yang tinggal hanyalah Iman

Kehidupanmu kini berseri-seri
Dengan kelahiran putera-puteri
Gembira hati tidak terperi
Kau kini bergelar ummi

Kau ummi bijaksana
Anak-anak diasuh dijaga
Diajar pendidikan agama
Dari kecil sehingga dewasa

Dalam kandungan sembilan bulan
Ummi sentiasa membaca Qur'an
Penat lelah semua ditelan
Hanya mengharap balasanMu Tuhan

Mengaji Qur'an dan hafalan
Mengira, menulis dan membaca
Wahai anak jadikan amalan
Ummi ajar dengan sempurna

Kau kini sibuk sekali
Mengurus rumahtangga setiap hari
Sebagai isteri dan juga ummi
DAN KAU JUGA SEORANG DA'I

WANITA, KAU MEMANG ISTIMEWA !!!

Ummu Ikram

 

Pantun Malas Sembahyang


Apasal laa, aku belum terfikir nak bentang sejadah
hidup senang rezeki datang melimpah,
nak dirikan sembahyang rakan baik setan suruh lengah-lengah,
Atau nak tunggu Allah tarik nikmatku sampai menangis keluar air mata darah

Untuk diriku dan kawan-kawanku yang tersayang...
Apasal la aku malas sembahyang,
Tuhan kasi aku jasad siap dengan bayang-bayang,
Bukan ke lebih beruntung daripada tiang,
Berdiri tanpa roh malam siang...

Apasal la aku malas sembahyang,
Kerja dah best keluarga pun dah senang,
negara pun dah aman tidak lagi hidup berdagang,
takkan lima minit lima waktu aku tak boleh luang..

Apasal la aku malas sembahyang,
Tuhan kasi otak supaya aku tak bangang,
Tuhan kasi ilmu boleh fikir susah senang,
Tuhan kasi nikmat kenapa aku tak kenang...

Apasal la aku malas sembahyang,
Main bola aku sanggup sampai petang,
Beli tiket konsert aku sanggup beratur panjang,
Apa la aku ingat masuk syurga boleh hutang...?

Apasal la aku malas sembahyang,
Aku kena ingat umur kita bukannya panjang,
Pagi kita sihat petang boleh kejang,
Nanti dalam kubur kena balun sorang-sorang....

Apasal la aku malas sembahyang,
siksa neraka cuba la aku bayang,
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang,
Janji Allah Taala akan tertunai tak siapa boleh halang!!!

 

Permata Untuk Isteri

* Untuk Sang Suami

Kata pujangga
perempuan bagaikan angin
lembutnya melenakan
ributnya menggusarkan.

Adakalanya mereka seperti ibu
menyaji kasih, menghidang sayang
adakalanya mereka seperti anak
ingin dibelai, minta dimanjakan
adakalanya mereka seperti nenek
berleter seadanya, merungut semahuannya.

Namun,
teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini.
bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka.

( i ) Psst....
Tiba-tiba isteri merajuk
pandai-pandailah memujuk
buka telinga, tajamkan pendengaran, amati suaranya

teliti dengan hati yang terseni
rasional atau emosi ?
andainya emosi, belailah emosi itu
jangan cuba dihadapkan secara rasional
kerana sidia tak akan terdaya
mengunyah hujah, berilah walau seribu sebab
lengkap dengan perangkaan statistik
atau dokumen saintifik
berserta dengan beberapa affidavit
dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.

Dalam situasi ini
fikiran telah ditawan perasaan
sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa
jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.

Masih gagal ?
cuba gunakan sentuhan
semarakkan belaian.

Masih gagal juga ?
Tunggu saja rajuknya reda
emosi isteri
bagai riak-riak air dalam cawan
jangan digoncang...... buat selamba
lambat laun, gelombang akan tenang
air dicawan akan kita minum jua.

Tapi awas.....
kalau ternyata, rajuknya berfakta
masamnya berdata, geramnya berilmiah
marahnya ada prima facie
ini rajuk taraf tinggi namanya
perlu ditangani berhati-hati
kalau ternyata benar, apa salahnya kita terima
mengaku lalu berjanji serta berikrar
" Sayang abang tak ulang lagi "
katakan " Sayang.... abang alpa "
bisikkan " Darling.. I lupa.."
hulurkan tangan, pinta kemaafan
pendekatan kasanova, tapi hati suci

Rajuk isteri seperti mangga muda
perisanya masam
tetapi...
kalau kena cicahnya
enaknya akan terasa.
ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin.

( ii ) Arghh...
tiba-tiba isteri merungut
malah kadangkala agak mengugut
minta aksesori serta perabut
minta Villa yang tersergam indah
atau mahligai di lereng bukit
sedangkan kita bukan Shah Jehan
yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya
tetapi isteri pula, persis Nur Jehan
yang meminta petanda keagungan cintanya
Katanya " Seabadi permata....
segermelapan intan " ...
sedangkan ditangan kita
cuma cincin tembaga.

Aduh...
peritnya mengukur cinta
dalam ukuran mayam atau menimbang setia
menerusi Bursa Saham papan utama
kasih isteri, turun naik
mengikut kadar tukaran wang asing.

Tiada guna menyesali diri
diakan dulu pilihan kita ?
semasa mekarnya
dia dihargai, dipuja-puji
dia kini sudah menjadi ibu
pada anak-anak kita
sudah takdir...
permata yang dipilih
perlu digilap semula.

Namun
putus asa jangan sekali
terimalah dia, dengan redha.
justeru isteri
pada hakikatnya
adalah bayang-bayang suami
wanita adalah tulang rusuk yang bengkok
luruskan dengan berhati-hati bertegas tapi jangan berkeras
lembut tapi jangan reput.

Katakan RM bukan segala-galanya
lalu pada saat yang kudus
setelah bersolat bersama
bisikkanlah " Duhai isteriku...
marilah kita bina perkahwinan ini
dengan cinta yang sejati
marilah kita kutip rezeki
dengan keringat tersuci
kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya
padamu isteri, istanamu, di hati ini
padamu sayang
kalung cintamu, di jiwa ini."

( iii ) Puuuh...
Akan tiba masanya bila 'isteri' di hati tapi
kurang di mata
usia meningkat kecantikan tergugat
dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus
betis, tidak lagi bunting padi
pipi, bukan lagi pauh dilayang
apakah dengan itu akan berkurang cinta kita ?
jika berkurang, nyatalah cinta kita
selama ini cinta di mata bertapak di body
tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah
ertinya cinta kita di hati, berpasak di budi.
itulah cinta sejati.

Namun tidak salah
di samping menyanjung budi,
kita merampingkan 'body'
kalau ada kesempatan
ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat
tapi ingat niat kerana Tuhan
bukan kerana ingin kuruskan badan
tapi Tuhan Maha Penyayang
Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami
tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan
sama-samalah merampinkan badan
yang terlebih dikurangkan
jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh
apa gunanya membandingkan isteri dengan perawan.

Bukan masanya lagi merenung dara
tapi kini saat menghitung dosa
lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti
moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia
di dunia ini dan di akhirat nanti
itulah yang dikatakan
hidup berdua, 'selepas' mati pun bersama.

( iv ) Uhhh....
Kekadang isteri mengamuk
dengan ombak prasangka dan taufan cemburu

Apa bukti setiamu suami ?
Apakah tandanya hanya aku di hatimu ?
kekadang disergahnya kita
ketika keringat masih membasah
baru menjengah pintu rumah.

Ketika itu nilailah diri
mungkin kita berdosa dengan Tuhan
atau bersalah dengan insan
mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan
yang telah kita lakukan

Lalu datang teguran, amaran dan peringatan
secara 'indirect' dari Tuhan
hadapkanlah diri ke cermin hati
kaji diri satu persatu
kalau liar, berhentilah
kalau berdosa, bertaubatlah

Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu
nasihatkanlah baik-baik
bukan senang nak senang
ingatlah mustika kata dalam kitab-kitab tua
suami yang bersabar dengan isteri yang jahat
akan mendapat pahala Nabi Ayub
atau ingatlah pesan Sayidina Umar al-Khattab
ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri :
"Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri telah banyak membantu kita.
Dia yang menyelamatkan kita daripada amukan nafsu.

Dia yang membantu menjaga makan minum kita.
Dia yang mencuci kain baju kita
Dia yang membantu membersihkan rumah kita...
lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit kerenahnya ? "

( v ) Marilah sama-sama kita tabur secubit
salji pada segenggam api.
Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan,
kisah perpisahan.
Marilah kita suburkan kembali pohon perkahwinan ini
walaupun sudah berdekad-dekad usianya.

Institusi ini adalah kubu terakhir kita.
Marilah kita pertahankan bersama si dia.
si diaku, si diamu
cinta kita jangan mati dalam arus dunia siber, biar setia kita makin waja. Biarlah skrin-skrin internet atau inranet memaparkan yang indah-indah pantulan seri rumah tangga kita.

Bicara ini diakhiri dengan satu coretan
yang mungkin boleh diguriskan pada kad hari lahir isteri
atau kad ulang tahun perkahwinan
atau surat biru yang ingin kau utuskan padanya...

Atau kau pahatkan saja di halaman hatimu pada malam nanti :
Aku hanya seorang suami
yang menerima setulus hati
seorang isteri.
Janji yang termeterai
di akad nikah kita musim yang lalu.
Salam kuhulur buat menyapa hatimu nan luhur.
Bersamalah kita harungi derita yang datang.
Bersatulah kita tempuhi nikmat yang bertandang.
Denai perkahwinan pasti dihujani air mata.
Biar kita rasa: rupanya syurga itu
sangat tinggi maharnya.

Isteri...
tidak kutagih setia, sesetia Hawa.
Atau kerinduan menggila Laila yang sangat dalam.
Terimalah kehadiranku
di sudut tersuci di dalam hatimu.....
seorang isteri.

 

[ Top ]